in ,

Yayasan PETRONAS sumbang peralatan perubatan, PPE RM2.5 juta di Sabah

KOTA KINABALU: Syarikat petroleum nasional, PETRONAS melalui cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu, Yayasan PETRONAS menyumbang peralatan perubatan dan kelengkapan perlindungan diri (PPE) bernilai RM2.5 juta kepada hospital di Sabah.

Yayasan PETRONAS dalam kenyataannya, berkata sumbangan itu bagi menyokong usaha barisan hadapan perubatan dalam menangani peningkatan kes pandemik COVID-19 di negeri ini.

Antara peralatan yang disumbangkan ialah penapis udara pernafasan, alat bantu pernafasan, paparan (monitor) tanda penting dan paparan psikologik untuk penjagaan pesakit, kecemasan dan trauma, penjagaan rapi serta wad penjagaan rapi kanak-kanak.

Peralatan berkenaan disalurkan secara berperingkat kepada hospital di Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu.

Pengerusi Yayasan PETRONAS, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh, berkata sumbangan itu diharap dapat membantu usaha Jabatan Kesihatan Sabah menangani penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

“Dengan jumlah kes harian COVID-19 yang tinggi di Sabah, adalah penting untuk kita bersama-sama memerangi virus berkenaan.

“Melalui kerjasama Jabatan Kesihatan negeri, kita berharap sumbangan Yayasan PETRONAS ini dapat membantu kerajaan negeri menangani gelombang ketiga COVID-19 secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik, berkata syarikat minyak negara itu sentiasa komited dalam memastikan sumbangannya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia terutama ketika krisis.

“Kita akan terus mengukuhkan lagi usaha bersama dengan agensi kerajaan dalam memberikan sokongan kepada hospital dan barisan hadapan perubatan yang sentiasa berkhidmat kepada yang memerlukan sepanjang tempoh yang sukar ini,” katanya.

Pada awal bulan ini, Yayasan PETRONAS menyumbang sebanyak 1,504 botol cecair pembasmi kuman, selain pelitup muka perubatan (2,500 keping) dan 2,390 gaun perubatan kepada Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Yayasan berkenaan turut menyumbang dua unit alat pengudaraan kepada hospital berkenaan pada Ogos lalu.

Sumbangan berkenaan adalah tambahan kepada peruntukan Yayasan PETRONAS untuk bekalan peralatan perubatan kritikal bernilai RM20 juta bagi membantu hospital, barisan hadapan kesihatan dan kumpulan berisiko tinggi dalam mengekang penularan COVID-19 pada Mac lalu.

Sehingga 30 Jun lalu, inisiatif dan usaha yang diambil Yayasan PETRONAS bagi menyokong usaha mengekang penularan COVID-19 sudah mencecah kira-kira RM40 juta termasuk sumbangan kakitangan sebanyak RM6.4 juta.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun yang mewakili kerajaan negeri menyatakan penghargaan terhadap sumbangan Yayasan PETRONAS dan semua pihak yang membantu usaha menangani COVID-19 di Sabah. -BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

‘Tiada undang-undang jelas halang pilihan raya’

Kenyataan media Istana Negara