in ,

Waspada Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual, Risiko Kerosakan Buah Pinggang

kesan merkuri dalam produk pemutihan

Obsesi untuk tampil cantik dan berkulit cerah menjadikan ramai wanita sanggup meletakkan nyawa sendiri di dalam risiko dengan mengambil pelbagai produk kosmetik yang diragui keselamatannya.

 Bagi mereka, asalkan produk itu memberi kesan yang pantas, maka ia menjadi pilihan hingga ada antaranya sanggup menghabiskan wang gaji untuk mencapai impian.

 Hakikatnya, penggunaan kosmetik dan produk makanan tambahan yang semakin berleluasa dalam kalangan wanita di negara ini berisiko diserang penyakit kronik, antaranya masalah buah pinggang.

 Lebih membimbangkan, produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hidrokuinon dan tretinoin ini memberikan kesan sampingan kepada kesihatan.

Kesan penggunaan hidrokuinon dalam produk kosmetik

 Banyak kes dilaporkan di media mengenai kesan negatif bahan kimia berbahaya ini yang menyebabkan kulit gatal, merah, melepuh dan sebagainya. Apa yang dikhuatiri ialah sekiranya produk berkenaan boleh menyebabkan pengguna berisiko mendapat kanser kulit atau mungkin membawa maut.

 Kebimbangan itu turut disuarakan Pakar Aesthetik Poliklinik Central Surgeri, Dr Riza Hartini Razali terhadap penggunaan kosmetik mengandungi bahan berbahaya yang terus berleluasa namun, kesedaran pengguna menjadi fokus utama.

Pakar Aesthetik Poliklinik Central Surgeri, Dr Riza Hartini Razali

Katanya, semakin ramai pesakit yang mengalami kesan buruk akibat penggunaan produk seumpama itu kerana tidak sedar produk digunakan mengalami bahan kimia beracun.

“Ada pesakit yang datang dengan keadaan kulit wajah yang sudah rosak, terbakar atau mengalami masalah pigmentasi yang teruk. Pada keadaan ini, tidak banyak yang dapat dilakukan untuk mengembalikan kulit ke keadaan asal selain kos rawatan yang amat tinggi,” katanya.

kesan merkuri dalam produk pemutihan

Katanya, kerosakan buah pinggang, saraf dan menyebabkan penyakit seperti migrain antara risiko disebabkan penggunaan merkuri  jika kandungannya terlalu tinggi dalam satu-satu produk.

“Keracunan merkuri juga boleh berlaku disebabkan pendedahan kepada merkuri dan pengumpulannya dalam tubuh pada jangka masa lama. Kesan jangka panjang penggunaan produk seperti ini menyebabkan kerosakan saraf, terutama pada tangan. Pesakit akan rasa gatal dan terbakar pada kulit tangan.

“Selain itu, pesakit berasa lemah, mempunyai emosi tidak stabil dan masalah ingatan yang kurang baik,” katanya.

 Dr Riza berkata, kebanyakan merkuri digunakan dalam tiga produk utama iaitu maskara, sabun antiseptik khas untuk muka dan krim pencerahan.

“Produk yang mengandungi merkuri biasanya mengambil masa yang cepat untuk menunjukkan keberkesanannya. Ciri inilah yang biasanya menjadi ‘daya penarik’ kepada pengguna khususnya mereka yang ghairah untuk memiliki kulit cerah dan mulus. Jadi pengguna kena lebih berhati-hati dengan produk kecantikan yang digunakan.

“Berhati-hati juga dengan produk yang menawarkan pelbagai janji hebat atau mendakwa boleh menyelesaikan banyak masalah kulit.

“Justeru, orang ramai perlu bijak memilih produk dengan meneliti kandungan bahan sebelum membeli dan mencubanya. Ini kerana kos merawat keracunan merkuri jauh lebih mahal berbanding perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membeli krim bebas merkuri,” katanya.

 Menurutnya, merkuri pada produk pencerah kulit juga boleh menyebabkan ruam, keradangan, perubahan warna kulit dan pengurangan kekebalan kulit terhadap jangkitan.

 Selain itu katanya, ia amat berbahaya bagi ibu hamil kerana merkuri dalam sabun, krim dan produk kosmetik ini boleh membantutkan perkembangan dan merosakkan saraf pada janin atau bayi mereka.

Sebagai pengguna katanya, kita harus bijak dan berhati-hati semasa memilih produk kosmetik dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai bahan kimia yang lazimnya digunakan di dalam formulasi produk kosmetik kerana bahan itu akan diserap melalui kulit.

Berikut beberapa langkah yang boleh diambil untuk memastikan produk yang dibeli selamat dan tidak berbahaya.

  • Baca label produk dan ambil perhatian terhadap label amaran terhadap sesetengah bahan yang digunakan di dalam formulasi produk kosmetik bagi memastikan ia selamat untuk digunakan.
  • Secara umumnya, krim pencerah wajah yang ada kandungan merkuri berbau agak keras. Kadangkala ada pengeluar menggunakan haruman yang agak kuat bagi menutupi bau logam merkuri. Jadi, hati-hati jika krim yang digunakan berbau logam atau terlalu wangi.
  • Untuk mengesan merkuri pada produk, lakukan tip ini. Sapukan krim pada tangan dan gosokkan barang kemas diperbuat dari emas pada krim. Jika produk atau krim itu mengandungi merkuri, krim itu akan bertukar menjadi warna kelabu. Semakin gelap warna kelabu bermakna semakin tinggi kandungan merkuri di dalamnya.
  • Kurangkan atau hindari diri menggunakan produk kosmetik semasa hamil mahupun menyusu anak. Ambil makanan seimbang yang kaya dengan kalsium dan zat besi bagi mengurangkan risiko toksik dedahan.
  • Rujuk laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan produk atau bahan dalam formulasi produk kosmetik dan had serta syarat yang dibenarkan.

Isz Yusliza – penulis rencana Big Blue TV

 

Written by Isz Yusliza

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Punca pencemaran dari kawasan industri – Tuan Ibrahim

Ladang angsa, itik disyaki punca pencemaran bau