in ,

UMNO tuntut PRU bila COVID-19 capai tahap minimum

KUALA LUMPUR: UMNO malam tadi, menuntut supaya Pilihan Raya Umum (PRU) segerakan diadakan selepas pandemik COVID-19, dapat dikawal pada tahap minimum.

Dalam mengemukakan tuntutan itu, UMNO mendakwa langkah itu dapat memberi peluang kepada rakyat memberi mandat bagi mewujudkan kerajaan yang stabil.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa mengutamakan agenda rakyat.

“UMNO memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan PRU setelah pandemik COVID-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.

“UMNO adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam tadi.

Malam tadi adalah kali kedua, MKT UMNO mengadakan mesyuarat khas minggu ini.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tidak hadir.

Susulan pendirian itu, Ahmad Zahid berkata, semua anggota Kabinet daripada UMNO akan terus kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, mereka beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti itu.

Ketika ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adalah Menteri Pertahanan yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) dalam pentadbiran kerajaan PN.

Pemimpin lain daripada UMNO termasuklah Ketua Wanita, Datuk Dr Noraini Ahmad yang juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Menteri Luar. -BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Semua anggota Kabinet UMNO kekal dalam kerajaan PN

Malim gunung berkebun tampung keperluan keluarga semasa PKPB