in ,

“Ultraman Kecek Klate Ke?” – Comelnya Gelagat Tok Dalang Cilik Ini

“Ultraman pandai kecek (bercakap) Klate (Kelantan) ke?” pertanyaan Pyu, Aqfierudzar Rizq Mohd Sulhie, Tok Dalang cilik membuat penonton tertawa sambil menceritakan pengembaraan watak kartun terkenal dari Jepun, Ultraman yang melawan raksasa Gomora yang rupanya seakan-akan Godzilla. 

Lebih dikenali dengan panggilan Pyu, dia sudah mula berkecimpung dalam persembahan wayang kulit sejak usianya 4 tahun lagi.

Dilahirkan dalam keluarga yang bergiat aktif dalam seni persembahan warisan negeri Kelantan yang mengasaskan Akademi Arjunasukma, tidak hairanlah kanak-kanak berusia 6 tahun ini sudah mahir dalam penyampaian cerita wayang kulit.

Menariknya, cerita menampilkan gabungan watak tradisional seperti Pak Dagang dan Hanuman yang ‘dilawankan’ dengan watak seorang kanak-kanak sekolah bernama Pyu dan Ultraman dek minatnya menonton siri kanak-kanak terkenal dari Jepun itu selepas habis persekolahan dan latihan wayang kulit.

Bapanya, Mohd Sulhie Yusof berkata, bakat yang mengalir dalam diri kanak-kanak itu mungkin kerana keluarga yang bergiat aktif dalam seni persembahan tradisional seperti dikir barat, silat dan Mak Yong. 

Bakat Pyu lahir dari bapanya, Mohd Sulhie (kanan)

Bahkan dirinya sendiri mengetuai kumpulan dikir barat dan silat cuma dia dan isteri berasa takjub melihat bakat semulajadi Pyu memegang patung wayang kulit buat pertama kali.

Kalau dibandingkan dengan kanak-kanak lain, mereka mudah bosan apabila memegang permainan. Kami lihat Pyu bukan sahaja bermain dengan patung wayang kulit tersebut, malah dia mula bercakap sendirian dan bercerita mengikut imaginasinya.

Sebab itu kami mengambil keputusan untuk memupuk bakatnya supaya boleh mendalami pengetahuan dalam bidang persembahan wayang kulit.

Semakin lama Pyu mengikut bapanya membuat persembahan bersama Akademi Arjunasukma, semakin pantas Pyu ‘menangkap’ kemahiran yang diperlukan oleh seorang Tok Dalang. 

“Kami amat berbangga apabila Pyu mampu mengadakan persembahan pertamanya pada usia seawal 4 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Malaysia,” katanya.

Pyu lazimnya mengambil masa antara tiga hingga empat hari untuk berlatih mengolah cerita yang akan disampaikan semasa mengadakan persembahan. 

Berbakat besar sebagai tok dalang

Kebanyakan cerita yang disampaikan berbentuk pengalaman Pyu sendiri melawat pusat membeli-belah, tempat tarikan pelancong dan tidak ketinggalan cerita nasihat yang menggalakkan rakan sebaya pergi ke sekolah, belajar berjimat cermat dan banyak lagi. 

Modul Baharu untuk Menarik Minat Kanak-kanak Kecil

Bercerita tentang pengalaman berpindah dari Kelantan ke Kuala Lumpur, Sulhie mengakui, walaupun Akademi Arjunasukma sudah dikenali di negeri asalnya, peluang mengetengahkan seni itu di ibu negara lebih besar.

Dia bercita-cita untuk merangka satu modul khas untuk kanak-kanak di peringkat sekolah rendah untuk mempelajari warisan wayang kulit.

 “Kami pernah dijemput untuk mengadakan persembahan di sebuah sekolah antarabangsa dan sambutan yang kami terima amat memberangsangkan. Walaupun kanak-kanak yang menonton persembahan tersebut tidak memahami cerita yang disampaikan dalam dialek Kelantan, tetapi mereka amat teruja sehingga duduk rapat dengan kami untuk bertanya lebih lanjut tentang wayang kulit.

“Malah ada juga beberapa kanak-kanak yang austistik menunjukkan minat dalam seni persembahan wayang kulit. Walaupun mereka tidak dapat berkomunikasi secara lisan seperti kita tetapi mereka menunjukkan kemahiran asas pergerakan tangan yang amat baik,” katanya.

Berikutan insiden tersebut juga, semangat Sulhie membawa Akademi Arjunasukma untuk mendekati kanak-kanak kecil semakin berkobar-kobar. Strateginya mudah, mencetus minat kanak-kanak dalam melukis, mewarna dan membuat patung wayang kulit mengikut selera mereka. Sama seperti Pyu dan watak Ultraman yang amat diminati.

Sejak bakat Pyu mula dikenali dalam persada seni warisan tanah air, mereka dikenalkan dengan Yayasan Hasanah, anak syarikat Khazanah Nasional Berhad yang memfokuskan usaha dalam melestarikan program dan aktiviti yang mempunyai elemen kemasyarakatan termasuklah seni dan budaya. 

Kini dijadikan ‘anak angkat’ oleh Yayasan Hasanah, Pyu dan Akademi Arjunasukma kini bukan sahaja mendapat sokongan daripada segi kewangan, malah bantuan berbentuk peralatan dan kemudahan yang memudahkan pergerakan mereka sebagai penggiat seni budaya.

Pelan Jangka Panjang Untuk Menyemarakkan Warisan Seni Budaya

Sejak Yayasan Hasanah mula ditubuhkan pada 1 Julai 2015, mereka banyak menjalinkan usahasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan persendirian dalam mengenalpasti potensi penggiat seni kreatif, hiburan dan warisan yang boleh bergerak lebih jauh ke peringkat global. 

Menurut Ketua Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Ruangan Awam Yayasan Hasanah, Zainariah Johari, selaku sebuah organisasi yang diamanahkan untuk melonjakkan penggiat seni tanah air, mereka perlu merangka pelan jangka panjang yang membolehkan golongan sasaran mereka menzahirkan bakat sedia ada dan sekaligus memperoleh pendapatan yang setimpal dengan kemahiran masing-masing. 

Zainariah (kiri) tekad membantu penggiat seni menerusi Yayasan Hasanah

Antara organisasi yang bekerja rapat dengan yayasan itu termasuk Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Istana Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kraftangan Malaysia dan banyak lagi. 

Setiap tahun, badan tersebut menawarkan geran khas terbuka kepada individu dan kumpulan bawah kategori B40 yang membolehkan mereka mendapat dana sehingga RM250,000 untuk tempoh 3 hingga 12 bulan.

Kami di Yayasan Hasanah amat terbuka dalam membantu penggiat seni budaya yang memerlukan sebarang sokongan. Malah kami mendapat banyak permohonan. Cumanya, kami hanya boleh meluluskan permohonan yang benar-benar berkualiti yang dilengkapi dengan dokumentasi dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas. 

Yayasan ini juga menawarkan program dana lain seperti dana kesenian dan dana perkembangan bakat yang memberi lebih kelonggaran kepada individu untuk memohon.

Zainariah berharap, dengan insentif yang ditawarkan, penggiat seni tempatan boleh melancarkan pelbagai kempen untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap usaha mempertahankan dan memelihara seni warisan negara.

Katanya, walaupun buat masa ini, masyarakat global terkesan akibat penularan wabak COVID19, Yayasan Hasanah masih berjuang supaya kelangsungan bidang seni warisan dapat diteruskan.

Zainariah bersama peserta ArtsFAS

Menurutnya, dari situ lahirnya ‘ArtsFAS – Arts for All Seasons’ (Kesenian Sepanjang Masa) agar golongan penggiat seni masih boleh terus menjana pendapatan walaupun tidak berpeluang untuk mengadakan persembahan untuk tontonan umum.

Di sinilah Zainariah memasukkan elemen teknologi dan digital untuk memudahkan penggiat seni memperoleh pendapatan yang lumayan apabila trafik pengunjung meningkat di ruangan dalam talian.

Selain daripada bidang seni budaya, Yayasan Hasanah turut memberi tumpuan dalam bidang pendidikan, perkembangan komuniti, alam sekitar dan ilmu pengetahuan.

Individu dan kumpulan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang https://yayasanhasanah.org/

Written by Isz Yusliza

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kenapa Dengan Bibir Zarina Anjoulie tu?

Manfaat Permainan Video