in ,

Twitter padam semua ciapan mendoakan kematian Trump

SAN FRANCISCO: Twitter memadamkan semua ciapan yang mendoakan kematian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dalam usaha menyekat salah guna media sosial sebagai medan untuk mengkritik pemimpin negara itu.

Tindakan terbaru syarikat berpangkalan di San Francisco itu dibuat berikutan banyak mesej dan ciapan mendoakan kematian Trump selepas Presiden AS itu dilaporkan menerima rawatan di hospital selepas disahkan positif COVID-19 Jumaat lalu.

Twitter, dalam satu kenyataan, mempertahankan tindakan mereka dengan menegaskan bahawa perbuatan mendoakan kematian sesiapa saja adalah tingkah laku tidak sopan.

“Mesej yang menginginkan atau mengharapkan kematian, kecederaan serius atau penyakit yang membawa maut terhadap sesiapa pun tidak dibenarkan dan perlu dipadamkan,” katanya.

Turut dilampirkan, dasar syarikat itu menyatakan mereka tidak bertolak ansur dengan kandungan yang menginginkan, berharap atau menyatakan keinginan seseorang untuk mati atau dijangkiti penyakit membawa maut.

Pesanan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial itu, malah mereka berpendapat bahawa Twitter tidak konsisten untuk menguatkuasakan peraturan terbabit.

Antaranya ialah wakil Demokrat, Alexandria Ocasio-Cortez atau dikenali sebagai AOL, yang sering menerima kritikan anggota Republikan konservatif melalui media sosial itu.

“Jadi… anda bermaksud memberitahu kami bahawa sepanjang masa ini anda boleh melakukannya (memadankan ciapan Twitter kontroversi) ini sepanjang masa?

“Kenapa pula ia tidak dilakukan bila membabitkan orang lain, malah ramai dalam kalangan ahli politik pernah mengalami masalah seperti ini,” katanya dalam ciapan beliau kepada Twitter.

Seorang lagi anggota Demokrat, Rashida Tlaib, mengecam tindakan Twitter dan menyifatkannya sebagai satu gangguan dan menegaskan bahawa ancaman kematian terhadap mereka juga seharusnya diberi perhatian serius.

Berita Trump dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 menjadi tajuk hangat di Twitter dan pengguna mengulang siar kenyataan pemimpin itu yang lantang mengkritik risiko pandemik dan langkah keselamatan seperti pemakaian pelitup muka. – AFP

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

BIG BLUE BERHAD SYARIKAT ANAK MELAYU PERTAMA YANG MELANCARKAN KENDERAAN ELEKTRIK – DATO SHAMSUBAHRIN

Trump tinggalkan hospital, teruskan kempen pemilihan Presiden AS