in ,

TUDM terbangkan barangan kritikal ke Sabah

SUBANG: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menghantar barangan kritikal ke Sabah dengan dua pesawat angkut, A400M dan C-130H yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang (PU Subang), dekat sini.

A400M membawa keseluruhan muatan seberat 15 tan antaranya membabitkan kelengkapan Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu 150 set peralatan perlindungan diri (PPE), 150 kotak pelindung muka, 50 kotak ‘jumpsuit’, 10 unit ‘ward screen’, 15 unit troli prosedur dan 80 kotak pelindung kasut/gown.

Pesawat A400M ini juga membawa barangan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri membabitkan 100 kotak sarung tangan getah.

“Selain itu, pesawat terbabit turut membawa 44 kotak pelitup muka dan PPE daripada Kementerian Pertahanan serta dua peralatan ventilator, 25 kotak pelitup muka dan 22 kotak cecair pembasmi kuman oleh Sunway Healthcare.

“Manakala barangan dari Yayasan Amal Malaysia juga diterbangkan iaitu dua kotak tudung, 25 kotak al-Quran, tiga kotak naskhah Doa Darussyifa dan lima kotak pakaian dan peralatan, ” menurut kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut melakukan tinjauan persiapan dilaksanakan TUDM dan proses persiapan memasukkan barang bantuan ke dalam pesawat oleh anggota Cabang Pergerakan Udara Subang serta anak kapal pesawat yang terbabit bagi penghantaran ini.

Perdana Menteri juga diberikan taklimat oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berhubung tugas pesawat TUDM dalam misi membantu memerangi wabak COVID-19 sepanjang tahun ini di Sabah dan Sarawak.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.

“Ketika tinjauan, Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada anggota TUDM serta agensi lain yang terbabit sebagai barisan hadapan yang sentiasa bertungkus-lumus membantu negara mengawal serta memerangi wabak COVID-19 dalam negara.

“Semoga kerjasama, komitmen dan usaha bersepadu yang ditunjukkan semua pihak dalam memerangi wabak ini dapat memberikan hasil yang terbaik kepada negara demi memastikan rakyat kembali sejahtera serta menikmati kehidupan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, pesawat angkut kedua iaitu C-130H dijadual menghantar barangan ke Kota Kinabalu dan Labuan dengan membawa barangan kelengkapan KKM iaitu 400 kotak set PPE, 50 kotak pelindung muka dan 50 kotak ‘jumpsuit’, dengan keseluruhannya seberat lima tan.

Untuk rekod, sejak 22 Mac hingga Selasa lalu, sebanyak 17 penerbangan penghantaran barangan kritikal dilaksanakan TUDM membabitkan jumlah muatan barang bantuan seberat 433,886.5 kg.

Selain itu, sepanjang bulan ini, sebanyak 471 kotak sampel COVID-19 dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau dibawa menggunakan penghantaran oleh pesawat TUDM untuk diserahkan kepada KKM di PU Subang bagi dilaksanakan ujian pengesahan di makmal di Semenanjung.

TUDM juga turut membawa 68 petugas terdiri daripada pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) bagi operasi di Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HMATM) di Tawau berikutan gelombang ketiga pandemik COVID-19.

Seramai 151 anggota pasukan Mobilisasi KKM turut dihantar ke Tawau dan Kota Kinabalu. -BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scarlett Johansson kahwin kali ketiga

Mohd Hamdi dilantik Naib Canselor UM