in ,

Top Glove rancang IPO lebih RM4 bilion di Hong Kong

KUALA LUMPUR: Pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd, sedang dalam pertimbangan untuk meraih lebih AS$1 bilion (RM4.14 bilion) menerusi penyenaraian di Hong Kong, demikian menurut pihak yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu.

Top Glove, yang sahamnya didagangkan di Kuala Lumpur dan Singapura, sedang bekerjasama dengan penasihat mengenai kemungkinan penjualan saham di Hong Kong, menurut pihak berkenaan, yang meminta namanya tidak didedahkan kerana maklumat itu adalah sulit.

Pada AS$1 bilion, penyenaraian Top Glove itu akan menjadi yang terbesar yang pernah dibuat oleh oleh syarikat Malaysia di Hong Kong, menurut data yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

Perbincangan rapi sedang diadakan dan perincian mengenai penawaran termasuk peningkatan saiznya bergantung pada maklum balas pelabur, kata pihak itu.

Syarikat itu mengesahkan bahawa ia sedang menilai dwi penyenaraian utama di Hong Kong, menurut satu kenyataan, tanpa memberikan perincian mengenai penawaran berkenaan.

“Cadangan penyenaraian di Hong Kong itu, jika diteruskan, akan membolehkan Top Glove membuat kemunculan di bursa saham yang lebih besar, aktif dan cair,” kata syarikat itu dalam kenyataan berkenaan.

Penyenaraian itu juga akan mempelbagaikan asas pelabur Top Glove dan menyediakan platform pengumpulan dana yang lebih besar untuk menyokong pertumbuhannya, katanya.

Top Glove sedang berbincang dengan bank mengenai cara terbaik untuk disenaraikan di Hong Kong dan prosesnya akan memakan masa enam hingga sembilan bulan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai kepada pemberita dalam taklimat pada bulan lalu.

Saham Top Glove telah melonjak lebih dari 460 peratus pada tahun ini di Malaysia didokong oleh permintaan terhadap alat perlindungan perubatan di tengah-tengah wabak coronavirus, sekali gus mengatasi indeks penanda aras negara, yang jatuh sekitar 4.4 peratus pada 2020.

-Bloomberg

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

23 pekerja kelab golf positif COVID-19

Penjawat awam Pulau Pinang dapat setengah bulan gaji