in ,

‘Timah’, arak keluaran tempatan cetus kontroversi

Kuala Lumpur – Pengeluaran arak jenama ‘Timah’ buatan Malaysia yang secara rasmi dilancarkan di peringkat antarabangsa secara maya pada 7 Oktober lalu, telah mencetuskan kontroversi apabila pelbagai pihak menganggap minuman keras itu sebagai penghinaan terhadap agama Islam.

Pihak terbabit mendakwa, nama Timah dikatakan merupakan singkatan bagi Fatimah, nama anak Nabi Muhammad S.A.W. Turut dibantah, imej promosi pada label botol arak tersebut serta waktu pelancarannya diadakan dalam bulan sama sambutan Maulidur Rasul (ulang tahun Nabi Muhammad S.A.W).

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kemunculan wiski buatan Malaysia yang bernama Timah itu sangat memalukan dan satu penghinaan kepada umat Islam apabila jenama yang ditonjolkan mengaitkan dengan nama Melayu dan Islam.

“Lebih parah gambar lelaki yang berkopiah serta berjanggut panjang dipaparkan pada label botol minuman keras itu, seolah-olah memperlihatkan seorang lelaki Islam alim mengiklankan dan mempromosi arak.

“Kami amat terkejut dan kecewa dengan kemunculan arak berjenama Timah keluaran tempatan. Ini adalah sesuatu yang amat janggal dan sangat bertentangan dengan imej Malaysia sebagai negara Islam.

“Apakah imej Malaysia akan menjadi popular sebagai negara yang subur industri judi dan arak?” katanya menerusi kenyataan media.

Tambah Mohd Azmi, pihaknya membantah keras perbuatan biadap itu yang tidak sama sekali merasa bangga terhadap minuman keras buatan Malaysia tersebut dan mendesak kerajaan menjelaskan pendiriannya terhadap isu terbabit.

Dalam pada itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PEKEMAS) turut menggesa kerajaan supaya segera mengharamkan penjualan jenama arak itu di pasaran negara ini.

Presiden PEKEMAS, Faizan Mohd Nor mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu membuat laporan polis kerana mahu kertas siasatan dibuka mengenai isu tersebut dengan memanggil pihak terbabit termasuk pengarah syarikat Winepak Corp, Gilbert Yeo dan Kenny Teo.

Bagaimanapun, syarikat pengeluar arak tersebut sebelum ini menjelaskan jenama Timah itu merujuk kepada bijih timah yang banyak di negara ini suatu ketika dulu serta menegaskan bahawa minuman keras itu dihasilkan untuk dinikmati masyarakat orang bukan Islam dan mereka yang cukup umur.

Dalam kenyataannya, arak itu dijelaskan sebagai sejenis wiski dan gambar lelaki pada label produk tersebut ialah salah seorang individu yang memperkenalkan budaya minuman berkenaan pada era pentadbiran British, iaitu Kapten Speedy.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Rakyat Malaysia ditahan cuba seludup dadah bernilai RM431.8 juta ke Australia

Kawasan Klang dinaiki air akibat banjir kilat