in ,

Tiga hari kerja, isteri pemandu ambulans tuntut cerai

 

Kesibukan tugas barisan hadapan jelas terpancar dengan peningkatan kes harian Covid-19 beberapa minggu lalu. 

Ikatan kekeluargaan juga mudah terjejas akibat masa berkualiti semakin berkurang demi memerangi wabak pembunuh.

Pemandu dan juga pemilik syarikat ambulans yang mahu dikenali sebagai Amir antara yang terkesan dengan pandemik apabila ikatan perkahwinan yang dibina musnah kerana tugas harian. 

“Isteri seperti tidak faham kerja saya. Dia mahu saya duduk di rumah pada hujung minggu dan menghabiskan masa bersamanya. 

“Malangnya, kerja macam saya ini tidak menentu. Ditambah pula, penularan kes Covid-19 agak serius ketika itu dan ramai memerlukan perkhidmatan ambulans,” katanya kepada Kosmo.

Hampir sedekad mendirikan rumah tangga, Amir mendakwa isterinya menuntut cerai selepas beliau tidak pulang ke rumah selama tiga hari. 

Katanya, selain sibuk dengan tugas, beliau juga bimbang jika membawa pulang virus Covid-19 dan menjangkiti isterinya. 

“Saya ini seorang yang banyak bersabar dan bertolak ansur. Saya bukan tidak mahu pulang ke rumah ketika itu, tetapi saya bimbang dijangkiti virus dan membawanya ke rumah.

“Justeru, saya pilih untuk tinggal di tempat kerja sementara menunggu keputusan ujian calitan Covid-19. Tetapi, dia anggap saya sengaja berbuat demikian,” katanya.

Amir berkata selepas kerap didesak isteri, beliau melafazkan cerai dengan talak satu melalui panggilan telefon. 

Katanya, penceraian mereka kemudian disahkan mahkamah syariah dua minggu kemudian walau hakim melihat perkahwinan mereka mampu diselamatkan. 

“Sewaktu perbicaraan di mahkamah syariah, hakim menasihati bahawa dalam perkahwinan perlu ada tolak ansur dan saling memahami antara satu sama lain.

“Saya tidak menyalahkan isteri 100 peratus terhadap perceraian ini. Saya juga sedar kekurangan diri ini,” beliau dilaporkan berkata.

Written by Kamil Awang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cuaca panas melampau dijangka berakhir hujung minggu ini

Kerajaan akan terus sekat dan ‘menyusahkan’ kehidupan antivaksin