in ,

Thailand, China meterai perjanjian projek kereta api berkelajuan tinggi

BANGKOK: Thailand dan China memeterai perjanjian bernilai THB50.63 bilion (RM6.72 bilion), semalam, bagi projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) antara Bangkok dengan Nakhon Ratchasima di timur laut negara ini.

Pembinaan landasan kereta api sejauh 253 kilometer (km) itu adalah fasa pertama projek HSR Bangkok-Nong Khai.

Majlis menandatangani perjanjian Kontrak 2.3 (Bangkok-Nong Khai) antara State Railway of Thailand (SRT), China Railway International Company dan China Railway Design Corporation, berlangsung di Rumah Kerajaan, di sini, dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha.

Kontrak itu meliputi pemerolehan trek, gerabak tren, sistem elektrik dan mekanikal, latihan petugas, kerja operasi dan penyelenggaraan serta pemindahan teknologi.

Perjalanan HSR dari Bangkok ke Nokhon Ratchasima akan membabitkan enam stesen, iaitu Bangkok (Bang Sue), Don Muang, Ayutthaya, Saraburi, Pak Chong dan Nakhon Ratchasima.

Projek HSR dari Bangkok ke wilayah Nong Khai di bahagian utara Thailand, adalah sebahagian daripada rancangan China untuk membina jaringan rangkaian di seluruh Asia Tenggara yang akhirnya akan menghubungkan Kunming di barat daya negara itu dengan Singapura.

Jurucakap Kerajaan Thailand, Anucha Burapachaisri, berkata Perdana Menteri menyifatkan projek itu bakal meningkatkan daya saing nasional dan memperkukuh pembangunan serantau, terutama bandar raya besar di sepanjang laluan kereta api terbabit.

Beliau berkata, Perdana Menteri menyatakan bahawa kerjasama itu juga akan mengukuhkan lagi hubungan Thailand-China.

Selain itu, ia mencerminkan komitmen dalam pembangunan infrastruktur demi menggalakkan kemakmuran ekonomi, jaringan pengangkutan dan hubungan antara rakyat.

“Projek ini juga akan memberi peluang untuk berkongsi pengetahuan.

“Thailand berhasrat menggunakan pengetahuan teknologi demi kepentingan terbaik negara dan rakyatnya serta rantau ini.

“Projek ini akan meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan antara dua negara dan hubungan wilayah dengan memikat hati masyarakat untuk tahun-tahun akan datang,” kata Anucha.

– BERNAMA

 

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Taufan Zeta membadai barat AS

Lantik segera ahli Jawatankuasa PAC – Kah Woh