in ,

Tertuduh kes basikal lajak kekal dibebas dan dilepaskan

Johor Bahru: Mahkamah Majistret, di sini pada Ahad, mengekalkan keputusan untuk melepas serta membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, empat tahun lalu.

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes berkenaan melampaui keraguan munasabah terhadap Sam Ke Ting, 26.

Keputusan itu diputuskan Siti Hajar, yang membacakan keputusan kes di akhir pembelaan di Mahkamah Majistret, di sini, selepas tertuduh diarahkan mebela diri oleh Mahkamah Tinggi pada Februari lalu.

Siti Hajar dalam keputusannya berkata, mahkamah memutuskan bahawa adalah tidak selamat baginya untuk mensabitkan tertuduh atas pertuduhan yang dihadapinya.

“Selepas meneliti segala keterangan yang dikemukakan dan menimbang semua hujahan Timbalan Pendakwa Raya dan peguam bela tertuduh di akhir kes pembelaan, timbul keraguan munasabah dalam minda saya.

“Maka diputuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah dan oleh itu, tertuduh dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan pada akhir kes pembelaan,” kata Siti Hajar dalam penghakimannya.

Siti Hajar berkata, mahkamah berpendapat keterangan tertuduh bahawa dia tidak mengetahui terdapat aktiviti basikal lajak di kawasan terbabit adalah munasabah dan bahawa dia berada di lorong paling kiri di lokasi kejadian juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mendapati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5 kilometer atau 75.8 kilometer sejam.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu Ke Ting yang sebelum ini digantung, dikembalikan kepadanya dengan serta-merta.

Pada 18 Februari lalu, Makhamah Tinggi di sini, mengarahkan Ke Ting yang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan terbabit untuk membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, sekali gus mengetepikan perintah diputuskan Mahkamah Majistret pada Oktober 2019 untuk melepas serta membebaskan Ke Ting.

Sepanjang perbicaraan bermula Ogos 2017, seramai 46 saksi pendakwaan dan 214 eksibit dikemukakan di mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Ke Ting didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Baru pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017 dan beliau didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, selain lesen memandu digantung, sekiranya sabit kesalahan.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 ‘rumah merah’ diserbu, 13 warga asing ditahan

Lebih 40 negara terima pengembara dari Malaysia lengkap vaksin