in ,

Tanah runtuh di Cameron Highlands, empat mangsa tersepit kereta dihempap pokok

Cameron Highlands – Seramai empat lelaki melalui detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang, dalam kejadian tanah runtuh di Tanah Rata, di sini pada Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kejadian berlaku berhampiran Hotel Smoke House kira-kira jam 4.00 petang.

“Keempat-empat mangsa tersepit dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) berjaya dikeluarkan yang mana dua mangsa dikeluarkan oleh orang awam manakala dua lagi dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di sini untuk rawatan lanjut,”katanya.

Dalam pada itu Ismail berkata, hujan lebat selama dua jam menyebabkan berlaku sembilan kejadian tanah runtuh di beberapa lokasi di daerah ini sehingga menyebabkan laluan terputus.

“Pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian pertama pada jam 4.16 petang. Sehingga jam 7.00 petang, sembilan lokasi dikenal pasti berlakunya tanah runtuh.

“Sembilan lokasi terbabit adalah tiga di Brinchang (tiga lokasi), Tanah Rata (tiga lokasi) dan Ringlet (tiga lokasi), hampir semua kejadian tanah runtuh itu menghalang laluan namun tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” ujarnya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 ribu tiket perlawanan akhir Piala Malaysia mula dijual pada Sabtu

Kedai alat ganti kereta hangus dalam kebakaran di Segambut