in ,

Tak pernah terfikir jadi TPM – Hishammuddin

Mr. Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan beliau tidak pernah berhasrat dan mengatur langkah untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan, beliau menjelaskan, fokus kerajaan dan UMNO sekarang ialah sidang Parlimen, Belanjawan 2021 dan mengurus krisis COVID-19, bukan soal jawatan.

“Pendirian ini selari dengan kenyataan media presiden UMNO dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO tempoh hari iaitu menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak berhenti berpolitik seterusnya bersatu memerangi COVID-19.

“Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah mengadakan usaha ke arah perkara itu (menjadi Timbalan Perdana Menteri).

“Malah saya berterima kasih kepada parti kerana menyokong saya mewakili UMNO sebagai Menteri dalam kerajaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, apa jua pendirian dan keputusan adalah demi kepentingan parti.

Beberapa media sebelum ini mengaitkan Hishammuddin sebagai antara calon Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, UMNO menafikan ia pernah berbincang mengenai mana-mana calon jawatan itu untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara nama lain disebut-sebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. -BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malaysia serah kepengerusian Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN

Sekinchan – Permata Tersembunyi