in ,

‘Syurga’ Hidangan Laut di Sekinchan Ikan Bakar

Berkunjung ke Sekinchan pasti kurang lengkap jika tidak menikmati hidangan ikan bakar dan makanan laut segar lain bahkan bandar ini juga ‘syurga’ buat peminat mentarang.

Bandar kecil terletak di pantai barat Malaysia yang terkenal dengan hamparan sawah padi ini juga sering menjadi tumpuan pelancong tempatan dek keindahan alam semulajadinya.

Perjalanan yang mengambil masa kira-kira dua jam dari Kuala Lumpur ke salah satu resort anak tempatan di bandar ini, Sekin Fisherman Village Hotel & Resort seakan-akan tidak terasa selepas melihat keindahan lanskap serba baru yang disediakan buat pelanggan.

Malah, pelanggan turut disajikan hidangan lazat di dalam resort yang menempatkan Restoran Sekinchan Ikan Bakar milik usahawan, Datuk Jamal Md Yunos.

Tidak hanya menyediakan fasiliti lengkap dengan kolam renang, resort yang mempunyai 100 bilik di Jalan Pantai Redang, Sekinchan ini juga terkenal dengan panoroma indah jeti nelayan yang terletak berhadapan pintu masuk resort.

   

Jadi, jika anda mahu merasai sendiri suasana kehidupan nelayan menaikkan hasil tangkapan mereka, di sinilah tempatnya bahkan buat kaki pancing, jangan lepaskan peluang memancing di kolam pancing ikan patin yang disediakan di dalam resort.

Kolam ikan patin yang disediakan khusus buat pelanggan yang menginap di resort itu boleh digunakan hanya dengan kadar bayaran sebanyak RM20 untuk satu joran setengah jam seorang atau memancing di tepi laut.

Setelah seharian memancing, nikmati angin laut yang menenangkan saat matahari terbenam di resort ini yang terletak di hadapan pesisir laut Pantai Redang.

Pakej penginapan di Sekin Fisherman Village Hotel & Resort ini juga amat berpatutan dengan tawaran harga serendah RM80 untuk bilik standard, tidak kurang juga pelbagai tawaran menarik untuk jenis penginapan lain.

Bilik selesa dengan harga berpatutan.
Kemudahan kolam renang turut disediakan.

Baru-baru ini, sekumpulan media menerima jemputan Restoran Sekinchan Ikan Bakar sempena pelancaran semula resort dan restoran berkenaan.

Melihat jumlah pengunjung, ternyata hidangan ikan bakar di restoran itu antara menu popular, ditambah bau semerbak rempah dan sos pencecah disulami dengan wangian daun pisang pasti membangkitkan selera pengunjung.

Terdapat pilihan ikan segar seperti kembung, pari, sebelah, siakap, jenahak, bawal dan juga ikan sungai seperti tilapia merah dan keli. Tidak ketinggalan ketam, sotong, udang, lala dan kerang. 

 

Bahan segar itu dibakar dengan sos istimewa resipi keluarga Jamal dan ia dinikmati dengan sambal belacan, sambal kicap serta air asam. Ditambah dengan set ulaman segar dari kampung pasti membangkitkan selera.

Jamal berkata, Sekinchan memang dikenali kawasan terkenal dengan hidangan ikan bakar dan restoran itu sentiasa menjadi tumpuan ramai kerana menggunakan ikan segar yang ditempah daripada nelayan dan pemborong ikan sekitar Sekinchan.

Sambalnya daripada gabungan rempah yang dihasilkan memberi rasa dan aroma berbeza berbanding kedai atau restoran lain. Hidangan unik seperti mentarang bakar juga memang dinanti-nantikan pengunjung.

Bagi memastikan kesegaran setiap makanan laut yang dihidangkan di restoran ini, setiap hari, pembekal  akan datang untuk menyediakan bekalan.

Menurutnya, ramuan yang digunakan dalam hidangan ikan bakar di restoran itu adalah merupakan resepi yang diwarisi sejak turun temurun.

Pembukaan restoran itu dicetuskan oleh Jamal yang berasal dari sebuah kampung di sana dan boleh dikatakan ia apresiasi kepada kehidupan zaman kecilnya.

Sederhana tetapi unik, konsep suasana kampung yang melatari keseluruhan kedai dengan lanskap indah pohon buluh yang merimbun di sekelilingnya begitu mendamaikan.

Janji Sekinchan Ikan Bakar; hidangan laut segar dibekalkan setiap hari dari pantai yang terletak dalam daerah Kuala Selangor itu.

 

Written by Isz Yusliza

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bulan Biru?

Pencemaran Sungai Selangor, polis buka kertas siasatan