in ,

Syarikat penerbangan global sambung operasi di KLIA

SEPANG: Langkah keselamatan COVID-19 yang berkesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menyumbang kepada peningkatan keyakinan perjalanan udara membolehkan lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa memulakan semula operasi.

Awal bulan ini, tiga lagi syarikat penerbangan antarabangsa menyambung semula operasi di KLIA dengan British Airways menawarkan empat penerbangan seminggu dari KLIA ke United Kingdom (UK), Oman Air menawarkan dua penerbangan mingguan ke Muscat manakala Ethiopian Airlines menawarkan satu penerbangan mingguan ke Addis Ababa.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataannya berkata, Lapangan terbang di Malaysia terus menyaksikan peningkatan secara berperingkat dari segi penumpang dan pergerakan trafik.

Ia berkata, pergerakan trafik penumpang bulan lalu meningkat sebanyak 19 peratus berbanding Ogos kepada 1.7 juta, manakala pergerakan pesawat meningkat sebanyak 9.8 peratus kepada 27,010.

“Sementara itu, operasi kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen terus menghampiri dua juta penumpang bulan lalu dengan lima syarikat penerbangan beroperasi setakat ini.

“Ini membolehkan kumpulan mencatatkan sejumlah 3.5 juta pergerakan trafik penumpang pada September 2020,” katanya.

MAHB berkata, satu syarikat penerbangan kargo, Pos Asia Cargo Express baru-baru ini memperkenalkan laluan baharu dari KLIA ke Lapangan Terbang Sibu yang mengendalikan enam penerbangan seminggu menggunakan pesawat B737-400F.

Katanya, sepanjang tahun ini, operasi kargo udara di Malaysia secara relatifnya kekal stabil.

“Di sebalik kemerosotan mendadak pergerakan pesawat penumpang, kargo menunjukkan daya tahan.

“Data dari Januari hingga Ogos 2020 menunjukkan bahawa operasi kargo di Malaysia mencatatkan purata 65,000 tan sebulan berbanding kira-kira 76,000 tan sebulan pada 2019,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata KLIA mengekalkan jumlah syarikat penerbangan kargo yang sama beroperasi di lapangan terbang itu sejak 2019.

“Terdapat 21 syarikat penerbangan kargo di KLIA (termasuk sewa khas),” katanya.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Firefly jadi syarikat penerbangan nasional, jika Malaysia Airlines ditutup

Bapa bunuh anak terpaksa diusung ke mahkamah