in , ,

Singapura tangguh hukuman mati tahanan warga Malaysia

Singapura – Mahkamah Tinggi Singapura pada Isnin, membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap seorang tahanan warganegara Malaysia yang sepatutnya dijadualkan menjalani hukuman gantung sampai mati pada Rabu, atas sabitan mengedar dadah.

Keputusan itu dimuatnaik di laman sosial oleh M. Ravi, peguam daripada K K Cheng Law Llc yang mewakili lelaki yang dihukum iaitu Nagaentran a/l K Dharmalingam, 33.

“Mahkamah Tinggi baru sahaja memerintahkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu perbicaraan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

“Prosiding bagi permohonan mencabar pelaksanaan penghakiman didengar melalui aplikasi Zoom pada 8 November semalam, dua hari sebelum tarikh pelaksanaan hukuman gantung pada 10 November.

“Mahkamah melaksanakan sesi perbicaraan yang adil diketuai oleh Hakim See Kee Oon. Perbicaraan bermula pada jam 2.30 petang, manakala keputusan penghakiman disampaikan pada jam 4 petang,” katanya.

Nagaentran yang didakwa peguamnya sebagai seorang kurang upaya pembelajaran, ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine seberat 42.72 gram dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 22 November 2010.

Pada 7 November lalu, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan telah mengutus surat bagi memohon kerajaan Singapura supaya hukuman dalam kes itu diringankan dan meminta untuk pertimbangkan kemungkinan menangguh hukuman mati untuk membolehkan permohonan baharu bagi pengampunan Presiden dikemukakan.

Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat sehingga ke peringkat akhir, dan permohonannya untuk pengampunan Presiden ditolak pada 1 Jun 2020.

Sementara itu, peguam Nagaenthran di Malaysia, N Surendran berkata, mahkamah telah menetapkan hari ini, 9 November jam 2.30 petang untuk mendengar rayuan.

Menurut N Surendran yang juga penasihat bagi Lawyers for Liberty, satu lagi permohonan difailkan oleh pihak peguam Nagaenthran meminta pernilaian psikiatri terhadap kesihatan mentalnya yang didakwa telah merosot juga ditetapkan pada waktu yang sama.

“Jika kedua-dua perkara itu ditolak, maka penangguhan pelaksanaan hukuman itu tidak lagi berguna,” kata beliau dalam satu kenyataan.

 

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

KPDNHEP keluar notis kepada pemilik restoran ‘siakap kayangan’

‘Maafkan saya warga Melaka atas kesilapan bahasa’ – Teo Nie Ching