in ,

Sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga asing ditumpaskan Imigresen

Kuala Lumpur – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan seorang lelaki warga Pakistan kerana disyaki menjadi dalang disebalik sindiket pemalsuan dokumen Imigresen, di sebuah kondominium mewah di Setapak, di sini pada 12 November lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Indera Khairul Dzaimee bin Daud berkata, suspek berusia 37 tahun itu berjaya ditahan dalam serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM selepas menerima maklumat.

“Pemeriksaan ke atas premis itu mendapati sebuah bilik dijadikan ‘makmal’ untuk menghasilkan pelbagai jenis dokumen palsu. Antara dijumpai set peralatan komputer, mesin pencetak kad, pelbagai jenis cap perwakilan asing dan lain-lain kelengkapan yang digunakan dalam aktiviti haram itu.


“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), lesen memandu Malaysia dan visa negara asing yang siap dicetak serta disusun rapi, dipercayai untuk diserahkan kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Khairul Dzaimee, dalam operasi penguatkuasaan itu, pihaknya turut menemui stok pelekat yang masih kosong termasuk wang tunai berjumlah RM13,710 disyaki hasil jualan dokumen palsu berkenaan.

Menurutnya, soal siasat ke atas suspek membawa pasukan operasi ke sebuah kondominium lain di Jalan Genting Klang. Pemeriksaan di unit itu turut menjumpai cap Pas Lawatan Sosial (PLS) dan lain-lain cap rasmi Imigresen palsu yang digunakan dalam aktiviti tersebut.


“Modus operandi suspek adalah mengunakan PLKS sebuah syarikat pembersihan sebagai lesen untuk beliau bergerak bebas menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang itu. Subjek juga dikesan menyewa beberapa kondominium mewah yang mempunyai akses terhad serta kawalan keselamatan ketat bagi menyukarkan kegiatan dikesan pihak berkuasa.

“Sindiket ini dikesan beroperasi sejak setahun lalu dengan mengenakan pelanggan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap pelekat PLKS, manakala bagi lesen memandu dikenakan bayaran sebanyak RM50.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Suspek ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut,” katanya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pesawat pejuang terhempas, seorang anggota TUDM dikhuatiri maut

Kembar tertukar keluarga 20 tahun, dapat kad pengenalan diri baharu