in ,

Seorang pengunjung maut terjatuh buaian berpusing ‘fun fair’

Kajang – Seorang pengunjung maut, manakala seorang lagi cedera selepas kedua-duanya terjatuh dari buaian berpusing di sebuah tapak pesta ria atau ‘fun fair’ berhampiran Aeon Jusco Cheras Selatan, dekat sini pada tengah malam Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, (SUPT.) Superintendan Mohd. Nasir Drahman berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah terima panggilan kira-kira jam 12.05 tengah malam daripada seorang pekerja tapak pesta ria tersebut berkenaan kejadian terbabit.

“Saksi memaklumkan bahawa terdapat dua lelaki tempatan berbangsa India yang juga pengunjung telah terjatuh dari buaian permainan tapak pesta itu.

“Salah seorang mangsa berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans dari Hospital Kajang yang hadir di lokasi kejadian. Manakala seorang lagi mangsa turut mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pihak polis telah membuka kertas siasatan dan setakat ini hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku di dalam kejadian tersebut.

“Kami masih menyiasat punca sebenar kejadian, sama ada terdapat kecuaian daripada penganjur tapak ‘fun fair’ ataupun daripada mangsa sendiri.

“Kita telah klasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk tindakan lanjut. Proses bedah siasat akan dijalankan dalam tempoh terdekat bagi mengetahui punca kematian,” ujarnya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lebih 4 ribu doktor kontrak diberi jawatan tetap menjelang 2022

Ahli arkeologi temui cebisan peninggalan kuil dinasti terakhir Firaun