in ,

Seorang lagi warden Penjara Seberang Perai positif COVID-19

NIBONG TEBAL: Seorang lagi warden di Penjara Seberang Perai, Jawi di sini disahkan positif COVID-19, sekali gus menjadikan dua pegawai penjara dijangkiti COVID-19 selepas ujian saringan dilakukan.

Pengarah Penjara Seberang Perai, Zulkifli Abdul Manah, berkata dua pegawai itu bertugas menjaga sekumpulan banduan ditempatkan di blok baharu yang terdapat banduan disahkan positif COVID-19 sebelum ini.

“Selepas banduan disahkan positif COVID-19, ujian saringan dilakukan terhadap pegawai bertugas di blok itu dan setakat ini dua dijangkiti wabak berkenaan.

“Kedua-dua mereka kini sedang menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjalankan ujian saringan COVID-19 terhadap dua keluarga pegawai terbabit yang tinggal di kuarters penjara.

“Setakat ini, keputusan ujian saringan keluarga pertama disahkan negatif dan kini kita sedang menunggu keputusan keluarga pegawai ke dua,” katanya.

Terdahulu, semua 384 pegawai dan kakitangan di Penjara Seberang Perai sudah menjalani ujian saringan COVID-19 dan akan mengikuti ujian saringan kedua dalam masa terdekat.

Zulkifli berkata, setakat ini, seramai 70 banduan yang baru dijatuhkan hukuman dan dimasukkan ke penjara berkenaan disahkan positif COVID-19.

“Terdapat kira-kira 700 banduan baharu dan mereka semua diasingkan daripada banduan lama bagi memastikan tiada penularan wabak COVID-19.

“Pada masa sama, kita juga menyediakan satu blok sebagai wad rawatan untuk banduan positif COVID-19 dan satu lagi blok untuk mereka yang pulih daripada penyakit itu.

“Keadaan semua mereka dijangkiti COVID-19 sekarang ini stabil,” katanya.

Kluster Penjara Jawi semalam merekodkan pertambahan 18 kes menjadikan keseluruhannya sebanyak 72 kes positif COVID-19 dilaporkan.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Solidariti guru dipenggal kepala

The House musim baru tampil kehidupan sosialit Ezurin Khyra