in ,

Sembilan sekeluarga malang termakan cendawan beracun

Dungun – Sepasang suami isteri bersama tujuh anak mereka yang menetap di Kampung Nyiur, Paka terpaksa dikejarkan ke hospital pada Isnin lalu, akibat dipercayai keracunan makanan selepas menikmati hidangan sayur cendawan goreng.

Suri rumah, Nurul Musfirah Ghazali dan suaminya termasuk tujuh daripada lapan anak mereka yang berusia empat hingga 13 tahun mengalami muntah-muntah sebelum di antara mereka rebah, kurang sejam selepas menikmati sayur cendawan goreng sebagai hidangan tengah hari.

Mengimbas kembali kejadian itu, Nurul Musfirah berkata, sebelum kejadian, dia langsung tidak menyedari cendawan busut yang tumbuh di kebun di sekitar rumahnya adalah spesies beracun.


“Saya cuma mengutip empat batang cendawan itu sebelum menggorengnya bersama kacang panjang sebagai sebahagian menu tengah hari. Seluruh ahli keluarga saya menjamah hidangan tersebut kecuali anak bongsu yang baru berusia setahun lebih.

“Tidak sampai sejam selepas itu, saya dan suami, Muhammad Nurhadi, 36, bersama tujuh anak saya berasa tidak selesa dan bahagian pada perut terasa panas seolah-olah hendak terbakar,” katanya.

Tambahnya, beliau dan suami dalam keadaan tidak bermaya hanya mampu melihat seorang demi seorang anak tergolek dengan mulut berbuih dan muntah-muntah darah.


“Dalam keadaan lemah, suami menggagahkan diri memandu van untuk membawa kami sekeluarga ke Klinik Kesihatan Paka bagi mendapatkan rawatan. Kami kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut dengan ambulans.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga stabil dan dibenarkan keluar dari wad selepas tiga hari. Pegawai kesihatan yang mengambil sampel cendawan yang kami makan tidak menolak kemungkinan kami keracunan disebabkan oleh cendawan itu,” katanya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kembar tertukar keluarga 20 tahun, dapat kad pengenalan diri baharu

Lelaki rentung terperangkap dalam MPV terbakar