in ,

Semak undang-undang pilihan raya sedia ada – ERC

Electoral Reform Committee (ERC) chairman Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman speak to the press at Putrajaya

KUALA LUMPUR: Undang-undang sedia ada perlu disemak secara menyeluruh bagi membolehkan penganjuran pilihan raya ditangguhkan apabila negara berdepan krisis, terutama membabitkan aspek kesihatan.

Melalui semakan itu, satu peruntukan perlu dimasukkan di mana penganjuran sama ada pilihan raya kecil (PRK) mahupun umum (PRU) boleh ditangguhkan ketika krisis kesihatan, huru-hara dan bencana alam atau apabila keadaan membahayakan keselamatan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, ketika menyuarakan perkara itu berkata sudah tiba masanya semakan berkenaan dilakukan.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, peruntukan khusus boleh dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958 bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan yang perlu apabila berlaku keadaan krisis.

“Dalam laporan ERC yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 27 Ogos lalu, kita mencadangkan supaya SPR membangunkan garis panduan khusus berkaitan pengurusan pilihan raya ketika kecemasan bagi menambah baik elemen kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi luar jangka.

“Ini meliputi keadaan dan kecemasan seperti malapetaka alam, rusuhan ataupun perintah berkurung seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak penyakit yang sukar diatasi dalam waktu singkat.

“Susulan itu, ERC bersedia membantu kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam mewujudkan peruntukan baharu berkaitan dengan keperluan menangguhkan pilihan raya ketika krisis.

“Ia sekali gus menjadikan sistem pengurusan pilihan raya di negara ini lebih efektif dan adil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, dilaporkan sebagai berkata kerajaan bersedia mengkaji cadangan mewujudkan akta tertentu membabitkan proses pilihan raya untuk mengekang penularan COVID-19.

Mengulas lanjut, Ab Rashid berkata, pihaknya menyambut baik kesediaan kerajaan itu, selain berpandangan usaha juga boleh dilaksana bagi memperkasakan undang-undang lain seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) ketika krisis kesihatan.

Beliau berkata, beberapa peruntukan baharu itu harus diperkenalkan dengan tujuan mengatasi keadaan yang boleh mengganggu-gugat suasana pilihan raya demokratik, termasuk menghakis kebebasan, keadilan dan ketelusan.

“Ciri asas pilihan raya demokratik tidak boleh diabaikan, dan kaedah sempurna mengikut undang-undang yang ada tidak harus diketepikan semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu pilihan raya.

“Dalam pilihan raya demokratik, setiap calon dan parti wajar diberi peluang seluas-luasnya untuk berkempen dan pengundi tidak harus dibatasi dengan peraturan yang boleh dianggap menyekat mereka untuk menunaikan tanggungjawab secara adil dan bebas, ” katanya.

Beliau berkata, kerangka perundangan semasa hanya memberi SPR kuasa untuk menguruskan pilihan raya di mana badan bebas itu wajib mengadakan pilihan raya apabila wujud kekosongan kerusi.

Bagaimanapun, katanya, tiada peruntukan bagi menangguhkan pilihan raya di mana mengikut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, SPR wajib mengadakan pilihan raya untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam masa 60 hari.

“Oleh itu, sudah tiba masanya peruntukan baharu dengan memasukkan Artikel atau Subartikel dalam Perlembagaan Persekutuan atau seksyen baharu dalam Akta Pilihan Raya bagi memperkasakan SPR,” katanya.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Persembahan dikecam, Nuha Bahrin mohon maaf

Cemar air, 636 syarikat kena tindakan