in ,

Selepas 44 hari, ibu jumpa Sandra dalam mimpi

Kerinduan Nur Syakinah Abdullah yang juga ibu kepada penyanyi Allahyarham Sandra Dianne terubat apabila arwah anaknya itu muncul dalam mimpi  selepas 44 hari pemergiannya.

Menerusi perkongsian di akaun Facebook baru-baru ini, Nur Syakinah mengucapkan rasa penuh syukur kerana akhirnya dapat bertemu dengan Sandra dalam mimpi.

Tepat 44 hari, akhirnya kakak datang juga dalam mimpi mama.Terima kasih nak, mama takkan lupa ciuman yang mama berikan pada kakak dan pelukan tangan kakak memeluk erat badan mama.

Ia seperti tanda daripada kamu yang memberitahu kamu baik-baik, dan sampai masanya mama pandang ke depan dan berhenti meratapi pemergianmu. Mama akan terus merindui kamu dan bersemadilah dengan tenang bidadariku. Al Fatihah,” tulisnya.

Sebelum ini Nur Syakinah pernah berkongsi di Facebook mengenai kerinduan ditanggung membuatkan dia seolah-olah berasakan Sandra ada tawaran menyanyi di tempat yang jauh dan lambat lagi akan balik ke rumah.

Kadang-kadang mama lihat telefon menunggu WhatsApp kakak masuk. Baca semula perbualan kita yang lama, dengar nota suara kakak pada mama, orang takkan mengerti apa perasaan yang mama lalui saat ini.

Susah untuk mama bangkit semula dari kesedihan ini kakak. Berat mama pun semakin hari makin turun daripada 52 kilogram (kg) mendadak turun ke 46kg. Setiap malam, selama 40 hari juga mama tidur bertemankan air mata,” tulisnya.

Nur Syakinah berkata, dia tidak pernah lupa mendoakan kesejahterahan Sandra dan selalu sedekahkan Al Fatihah buat anak kesayangannya itu.

Terdahulu,11 September lalu, Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria meninggal dunia jam 1 pagi di Hospital Putrajaya selepas enam hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kemalangan.

Penyanyi lagu Hey Kau itu terbabit dalam kemalangan pada 5 September di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Subang Jaya ketika dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk mengikuti latihan program Big Stage 2020 yang disertainya.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan, Sabah.

 

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Rasuah: Dua pegawai kanan ATM didakwa lagi

44 anggota Polis Selangor jalani kuarantin kendiri