in ,

Sekat kemaraan Hamilton, Verstappen julung kali juarai litar AS

Austin: Litar Circuit of the Americas (COTA) bergema dengan sorakan lebih 400,000 orang penonton yang hadir bagi menyaksikan pusingan ke-17 perlumbaan Kejuaraan Dunia F1 2021 yang diadakan di sini awal pagi Isnin, di mana pemandu Red Bull Racing, Max Verstappen muncul selaku pelumba pertama yang berjaya merentasi garisan penamat.

Dalam perlumbaan sengit berlangsung di Texas, Amerika Syarikat (AS) itu, menyaksikan bagaimana pelumba muda Belanda yang bermula di petak pertama terpaksa bertugkus-lumus untuk mengejar jentera Mercedes yang dipandu pantas Lewis Hamilton, setelah dia dipintas juara bertahan itu pada peringkat awal perlumbaan.

Namun, strategi under-cutting Red Bull dengan melakukan hentian pit awal pada lap ke-11 dan ke-29 untuk tukaran set tayar baru buat Verstappen, terdahulu sebelum Mercedes telah membuahkan hasil apabila pasukan itu berjaya bersilih ganti merampas kembali posisi P1 daripada pelumba British itu.

Kemuncak perlumbaan kian menyerlah pada tiga pusingan terakhir, apabila Verstappen dengan cekap dan agresif mempertahankan kedudukan dengan menyekat kemaraan Hamilton yang telah pun merapatkan jurang di bawah satu saat.

Kegagalan juara dunia tujuh kali itu untuk memintas, sekaligus membuka ruang bagi Verstappen untuk memenangi Grand Prix AS buat julung kalinya. Rakan seperjuangannya, Sergio Perez pula melengkapkan perlumbaan di kedudukan ketiga podium manakala Lewis di tempat kedua.

Menerusi perlumbaa Formula 1 Aramco United States Grand Prix 2021 itu, Verstappen kini menduduki tangga teratas kejuaraan pemandu dengan jurang hanya 12 mata memisahkan beliau dengan Hamilton. Bagi kedudukan konstruktor, Mercedes masih lagi mendahulu carta dengan 460.5 mata berbanding Red Bull pada 437.5 mata.
|
Kini dengan berbaki cuma tinggal lima perlumbaan sahaja lagi, mampukah Verstappen kekalkan momentum sehingga berjaya meraih gelaran juara dunia sulungnya pada tahun ini? Nantikan segala aksi dan debaran dalam perlumbaan seterusnya yang bakal berlangsung di Mexico pada 5 hingga 7 November hadapan.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Maut ketika mendaki Gunung Lambak

Mamat Khalid, seniman tanah air disanjungi meninggal dunia