in ,

Saran kerajaan perkenalkan skim pencen sosial dan tingkatkan peluang pekerjaan

Kuala Lumpur: Laporan analisis serta data dana pencen terkini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat 31 Ogos telah menzahirkan kebimbangan, apabila 46 peratus ahlinya atau bersamaan 5.8 juta orang pencarum berumur di bawah 55 tahun mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, jumlah tahap simpanan rakyat Malaysia sudah pun berada pada tahap yang rendah sebelum program inisiatif pengeluaran simpanan KWSP akibat COVID-19 seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra mula dilancarkan.

“Cabaran berbeza memerlukan penyelesaian berbeza. Cabaran jangka pendek ialah untuk memulihkan kedudukan kewangan rakyat kebanyakan (bukan hanya B40), manakala cabaran jangka panjang ialah bagaimana menangani isu tahap simpanan rakyat.

“Kedua-duanya memerlukan intervensi yang mapan bagi mengganti sebarang penyelesaian sementara,” katanya menerusi catatan di media sosial, Sabtu lalu.

Krisis COVID-19 mengakibatkan kejatuhan ketara dalam peratusan ahli yang mencapai simpanan asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus susut kepada 27 peratus, susulan pengeluaran yang dibuat bagi menampung pendapatan mereka ketika pandemik.

Shahril Hamdan yang juga merangkap Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan adalah penyelesaian terbaik ketika ini bagi memulihkan ekonomi rakyat yang tertekan akibat pandemik COVID-19.

“Negara akan terus terperangkap dengan masalah ini, selagi pasaran pekerjaan hambar serta pengangguran berlegar pada 700 ribu hingga 1 juta.

“Skim tunai seperti i-Citra, Bantuan Khas COVID-19 mahupun moratorium pinjaman cuma sesuai untuk tempoh seketika, tidak mampu menyelamatkan keadaan untuk tempoh lebih lama malah juga tidak merawat dengan menyeluruh – tidak seperti peluang bekerja.

“Apabila rakyat mampu kembali meraih pendapatan bulanan yang sepatutnya, barulah kita benar-benar berada atas jalan pemulihan,” jelas beliau.

Beliau turut mencadangkan pelbagai pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan, seperti memperkenalkan skim pencen sosial di mana selain caruman KWSP, pesara di bawah sesuatu tahap pendapatan diberi subsidi kewangan bulanan.

Katanya, kebarangkalian rasionalisasi program subsidi kerajaan di samping perubahan rejim percukaian perlu dipertimbangkan bagi memudahkan ‘tax-funded social pension scheme’ itu berlaku.

“Selain caruman pekerja dan majikan, selepas ini mungkin ada juga pilihan untuk kerajaan menyumbang kepada caruman , walaupun mungkin tidak dengan nisbah 1:1 dan tidak selamanya.

“Masalah jangka panjang memerlukan tindakan berani dari kerajaan untuk lebih menjamin kedudukan kewangan untuk hari esok,” tambah beliau.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bina jambatan ketiga Pulau Pinang

30 perusuh halang pembinaan jalan bersebelahan tokong