RGL: Laluan khas bagi pengembara Indonesia-Singapura

JAKARTA: Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta bakal menyediakan laluan khas kepada pengembara yang melakukan perjalanan antara Indonesia dan Singapura, menurut The Jakarta Post.

Kedua-dua republik itu bersetuju untuk membangunkan koridor perjalanan bagi memudahkan urusan diplomatik dan perniagaan yang memerlukan tindakan segera.

Aturan perjalanan dikenali sebagai Reciprocal Green Lane (RGL) akan berkuat kuasa mulai 26 Oktober ini.

“Kami menyediakan beberapa pusat pemeriksaan untuk penumpang bagi laluan Indonesia-Singapura dalam skim RGL,” menurut Pengarah PT Angkasa Pura II, Muhammad Awaluddin dalam kenyataan pada Ahad yang dilaporkan tribunnews.com.

Menurutnya, penyediaan laluan khas itu akan mengguna pakai protokol kesihatan COVID-19 yang ketat.

Pengembara yang menggunakan laluan khas itu akan melalui saringan suhu badan di terminal sebelum dibenarkan mendaftar masuk di kaunter di mana mereka perlu menunjukkan keputusan ujian polymerase chain reaction (PCR) yang sah dalam tempoh 72 jam.

Mereka kemudiannya perlu mengesahkan permohonan status kesihatan menerusi kad amaran kesihatan elektronik (e-HAC) sebelum dibenarkan memasuki pesawat.

Bagi pengembara yang tiba di lapangan terbang, Awaluddin berkata, sebaik saja mereka tiba di terminal ketibaan, mereka perlu melepasi pelepasan daftar masuk menerusi e-HAC yang diisi ketika berlepas.

Mereka kemudiannya perlu melepasi kaunter imigresen dan kastam sebelum ke kawasan ujian PCR. Jika negatif, mereka akan dibenarkan meneruskan perjalanan ke Indonesia, manakala bagi yang positif, mereka perlu dikuarantinkan.

Sebelum ini, Menteri Luar, Retno LP Marsudi, berkata koridor perjalanan terhad kepada perjalanan diplomatik dan perniagaan.

Menurut kementerian, warga Indonesia yang mahu memasuki Singapura melalui koridor perlu mendapatkan sokongan rasmi sama ada daripada agensi kerajaan Singapura mahupun perusahaan bagi mendapatkan pas perjalanan yang selamat.

Bagi warga Singapura yang mahu ke Indonesia pula, mereka perlu mendapatkan sokongan rasmi dari Jabatan Dalam Negeri Indonesia dan entiti perniagaan bagi mendapatkan visa.

Koridor perjalanan itu meliputi dua laluan iaitu antara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi serta antara Terminal Feri Batam dan Terminal Feri Tanah Merah.

Kedua-dua negara itu bersetuju dengan prosedur tertentu bagi memastikan kepatuhan terhadap protokol kesihatan. Sebagai contoh, pengembara perlu mengambil dua ujian PCR, satu dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas dan satu lagi ketika ketibaan di lapangan terbang atau terminal feri.

Indonesia sebelum ini membangunkan koridor perjalanan bersama Emiriah Arab Bersatu dan Korea Selatan untuk memberikan kelonggaran kepada jabatan kerajaan dan perniagaan kedua-dua negara. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *