in ,

Restoran Salt Bae di London ‘sembelih’ pelanggan

London – Harga makanan di cawangan restoran milik chef selebriti terkenal dan ahli perniagaan Turki, Salt Bae yang baru dibuka di sini, dilaporkan ‘cekik darah’ dan tidak masuk akal.

Sebagai contoh, semangkuk salad dijual pada harga 23 pound (RM132), satu hidangan jagung manis berharga 12 pound (RM69), satu hidangan burger berharga 100 pound (RM574), satu tin Red Bull berharga 11 pound (RM63) dan satu tin air Coca-Cola, 9 pound (RM52).

Restoran Nusr-Et Steakhouse kepunyaan Salt Bae atau nama sebenarnya Nusret Gokce Erzurum, 38, yang terletak di The Park Tower, Knightbridge, barat London telah menjadi perbualan netizen selepas gambar resit daripada restoran barunya itu tular di media sosial.


Antaranya, kisah seorang pelanggan yang dikenakan bayaran bil berjumlah 37,000 pound (RM212,278) termasuk cas servis 15 peratus ketika di makan restoran berkenaan menarik perhatian pelbagai pihak.

Berdasarkan resit pembayaran yang dimuat naik dalam media sosial itu, antara menu yang ditempah pelanggan itu termasuk stik ‘golden tomahawk‘ berharga 850 pound (RM4,876), 16 ketul baklava berharga 400 pound (RM2,295) dan tiga pinggan kentang goreng berharga 30 pound (RM172).

Selain itu, pelanggan tersebut juga menempah sejumlah hidangan sayuran bernilai 12 hingga 18 pound (RM69 hingga RM103) dan selebihnya untuk membeli minuman beralkohol yang berharga 30,620 pound (RM175,674).


Biarpun ramai menyifatkan hidangan di restoran itu sedap, namun masih tidak berbaloi dengan harganya yang terlalu mahal. Malah, terdapat ciapan Twitter mencadangkan pelanggan untuk terbang ke Turki dan makan di restoran Salt Bae di sana kerana harganya lebih murah.

Namun, ada juga yang berpandangan sebaliknya. Malah walaupun restoran itu didakwa memadam semua komen negatif yang dimaklumkan pelanggan, namun isu harga tidak masuk akal itu secara tidak langsung menjadikan restoran beliau popular dalam kalangan rakyat Britain.

Salt Bae yang turut memiliki cawangan restoran di Los Angeles, New York, Turki dan Dubai pada asalnya menjadi mashyur setelah video memperlihatkan skil penggunaan pisau serta teknik menabur perisa makanan dipaparkannya tular pada tahun 2017.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Tiada tuduhan khianat, Idris selesa bersama PH

Rakyat Malaysia ditahan cuba seludup dadah bernilai RM431.8 juta ke Australia