in ,

Rangka triceratops terbesar dunia dijual lebih RM31 juta

Paris – Rangka tulang dinosaur dari spesies triceratops paling besar pernah ditemui di dunia setakat ini yang diberi gelaran ‘Big John’, telah dibeli oleh seorang pengumpul dari Amerika Syarikat (AS) dengan harga euro 6.6 juta (RM31.91 juta) menerusi acara lelongan di sini pada Khamis lalu.

Rangka gergasi dianggarkan berusia lebih 66 juta tahun itu telah dijumpai pada tahun 2014 di South Dakota dan telah dinamakan sebagai Big John sempena pemilik tanah di mana tempat ia ditemui. Fosil tersebut diperakui Rekod Dunia Guinness sebagai rangka triceratops terbesar pernah didokumentasikan.


Dipercayai, dinosaur berkenaan mati di dataran benua tersebut yang terbentang luas daripada Alaska kini hingga ke Mexico, akibat banjir purba disebabkan penemuan rangkanya yang utuh terpelihara di dalam lumpur.

Triceratops terkenal menerusi tiga tanduk di bahagian kepalanya. Makhluk-makhluk itu pernah berkeliaran di bumi semasa Zaman Kapur Akhir, kira-kira 68 hingga 66 juta tahun lalu di tempat yang kini dikenali sebagai AS moden.


Saiz rangka Big John adalah 7.15 meter panjang dan berdiri setinggi 2.7 meter dari pinggul. Bahagian tengkoraknya pula dianggarkan lebih daripada satu pertiga daripada jumlah keseluruhan panjang badannya, manakala dua tanduk besarnya pula melebihi 1.1 meter panjang.

Rangka dinosaur itu dilelong di Firma Lelongan Drouot pada 21 Oktober lalu dan dipamerkan di sini sebelum tiba hari lelongan. Big John akan dihantar kembali ke AS, negara yang menjadi tempat penemuan rangka tulang itu kepada pembeli yang identitinya tidak ingin didedahkan.

Menurut pakar paleontologi, Iacopo Briano berkata, apa yang menjadikan Big John unik adalah kerana tulang rangkanya lengkap lebih 60 peratus dan tengkoraknya pula lebih dari 75 peratus lengkap.

“Kualiti keseluruhan Big John cukup padan pada harga lelongannya. Bagi spesies triceratops dan dinosaur jenis herbivor, saya tidak menyangka harga lelongan rangka dinosaur tersebut boleh mencecah setinggi itu. Ini merupakan rekod yang sukar dipercayai,” katanya.


Namun, ini bukan kali pertama sesuatu rangka atau fosil dinosaur pernah dijual dalam acara lelongan. Pada tahun lalu, rangka dinosaur Tyrannosaurus rex atau T-Rex paling lengkap yang diberi gelaran ‘Stan’ telah dijual pada harga AS$31.8 juta (RM132 juta), menjadikannya rekod dunia bagi rangka dinosaur termahal pernah dijual di lelongan.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lebih 800 ribu pekerja hilang pendapatan terima bantuan BKP

Mengaku bersalah menipu, bekas pemandu F4 didenda RM308,500