in ,

Rancang buka semula Genting Highlands, Melaka dan Pulau Tioman dalam tempoh terdekat

Kuala Lumpur: Susulan prestasi positif Pulau Langkawi sebagai projek rintis gelembung pelancongan domestik, kini tiga lagi destinasi pelancongan popular tempatan bakal dibuka kembali kepada orang ramai dalam masa terdekat.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan tersebut adalah sebagai langkah usaha bagi merancakkan semula industri pelancongan selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 sejak lebih setahun lalu.

Destinasi pelancongan dimaksudkan merupakan Genting Highlands, Melaka dan Pulau Tioman yang dicadang untuk dibuka semula mulai 1 Oktober ini.

Cadangan itu telah diluluskan pada Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam dan bersetuju untuk mengangkat perkara tersebut ke Sidang Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, pada hari ini.

Menurut Menteri itu, pihaknya dan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) bagi perjalanan masuk ke tiga destinasi tersebut terutama SOP masuk ke negeri Melaka, yang mempunyai kawasan liputan yang luas.

Beliau turut meminta agar pemain industri pelancongan di ketiga-tiga destinasi berkenaan bersedia menanti kedatangan pelancong.

Memaklumkan perkembangan di Pulau Langkawi sejak projek rintis gelembung pelancongan itu bermula pada 16 hingga 19 September, Nancy Shukri berkata, seramai 6,662 pelancong memasuki pulau itu melalui penerbangan, manakala 3,483 lagi menggunakan feri.

“Projek rintis gelembung pelancongan di Pulau Langkawi kini menjadi penanda aras sebelum kerajaan meneliti keputusan untuk membuka sempadan negara bagi menerima kehadiran pelancong luar.

“Terlebih dahulu kita mulakan dengan Langkawi kerana pulau itu mempunyai lapangan terbang antarabangsa.

“Kementerian sudah pun gandakan perbincangan bersama pelbagai agensi dan sekiranya berjaya, kita akan buka inter state travel (pelancongan antara negeri) dalam sedikit masa lagi.

“Kita tidak mampu untuk bergantung terhadap pelancongan domestik saja tetapi menerusi pembukaan pelancongan antarabangsa dengan Pulau Langkawi terlebih dahulu dijadikan sebagai perintis gelembung pelancongan yang lengkap dua dos vaksin serta krtiteria lain,” tambahnya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kes saman fitnah Mujahid berkaitan Nur Sajat diselesaikan menerusi mediasi

Nur Sajat sah di tahan Imigresen Thailand