in ,

Rakyat Malaysia ditahan cuba seludup dadah bernilai RM431.8 juta ke Australia

Melbourne: Polis Persekutuan Australia (AFP) baru-baru ini telah berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 450 kilogram yang bernilai AUD140 juta atau bersamaan RM431.8 juta dalam satu serbuan di sini.

Menurut Pegawai Kanan AFP, Krissy Barret, sebanyak 1,290 bungkusan heroin ditemukan tersembunyi di dalam sebuah kontena yang diisytiharkan membawa bungkusan jubin dari Malaysia ke Melbourne, sekali gus menjadikannya rampasan dadah heroin terbesar di Australia.

Difahamkan kontena terbabit tiba daripada Malaysia pada 29 September dan kemudiannya dihantar ke sebuah kawasan perindustrian di Tullamarine berhampiran lapangan terbang Melbourne pada minggu lalu.

Menerusi hasil serbuan itu, pihak AFP telah menahan seorang lelaki warganegara Malaysia yang dipercayai terlibat dalam penyeludupan berkenaan. Suspek yang tidak dinamakan itu direman dan sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne pada Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, JSJN Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan AFP bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia yang disyaki menyeludup serta mengedar dadah ke negara itu.

“Semua tindakan akan diambil PDRM dalam memastikan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah dapat dibanteras tanpa kompromi.

“Media melaporkan seorang warga Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Australia kerana cuba menyeludup masuk 450 kilogram heroin ke negara itu dan merampas dadah bernilai RM431.8 juta tersebut ,” katanya menerusi kenyataan media.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Restoran Salt Bae di London ‘sembelih’ pelanggan

‘Timah’, arak keluaran tempatan cetus kontroversi