in , ,

Pusingan akhir perlumbaan Trump-Biden

WEST SALEM: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bekerja keras dalam usaha terakhir mempertahankan wilayah Midwest manakala pencabarnya, Joe Biden, bertekad merampas kubu Republikan itu.

Tinjauan mendapati Trump kini ketinggalan seminggu sebelum hari pengundian pada 3 November depan dan giat turun ke padang dengan mengadakan perhimpunan di Michigan, Wisconsin dan Nebraska semalam.

“Saya tegaskan di sini, saya sedang berusaha keras!” katanya di Lansing, Michigan, yang disambut sorakan penyokongnya.

Trump menang di ketiga-tiga negeri itu, dengan Michigan dan Wisconsin adalah penyumbang utama kejayaan mengejutnya, namun RealClearPolitics menunjukkan beliau ketinggalan sekurang-kurangnya lima mata di setiap negeri berkenaan.

Sementara itu, Wanita Pertama AS, Melania, membuat kemunculan sulung kempen pilihan raya itu di Pennsylvania, satu lagi negeri yang dimenangi Trump empat tahun lalu, namun Biden kini mendahului di negeri berkenaan.

Isteri Trump dijadualkan mengunjungu Erie, Pennsylvania minggu lalu, namun memilih untuk tidak berbuat demikian berikutan masih batuk, kesan daripada jangkitan COVID-19 sebelum ini.

Kempen Biden di Georgia, yang sebelum ini kubu kuat Republikan, bermula di bandar Warm Springs, disusuli perhimpunan berkereta di Atlanta.

Di Warm Springs, Biden berkata tindak balas Rumah Putih umpama ‘menyerah diri’ atau mengalah kepada pandemik COVID-19 dan menyifatkan Trump sebagai sudah menyerah kalah.

Tinjauan di Peach State pula mendapati perlumbaan Trump-Biden masih sengit tanpa pemenang yang nyata setakat ini.

Rakan Biden, Senator Kamala Harris pula turun ke Nevada, yang dimenangi Hillary Clinton pada 2016.

Di situ, Harris memberitahu wartawan bahawa beliau dan Biden percaya mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh undi. – AFP

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

PM Thailand enggan berundur meskipun didesak

Prosiding komital Lokman Noor Adam 14 Disember