in ,

Pulau Perhentian antara dilanda banjir kilat

Besut – Susulan hujan lebat berterusan selama beberapa jam bersertakan fenomena air pasang besar menyebabkan sebanyak 20 rumah di Kampung Pulau Perhentian Kecil, Kuala Besut di sini pada Rabu, dinaiki air akibat banjir kilat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Mohd Rosman Abdullah berkata, kawasan pulau peranginan itu mula dinaiki air bah sejak jam 11.00 malam dengan limpahan air dari bukit berhampiran memburukkan lagi kejadian.

“Pemeriksaan mendapati pertembungan antara fenomena air pasang besar serta limpahan air dari kaki bukit punca sistem perparitan di perkampungan berkenaan menjadi penuh dan tersumbat.


“Begitupun, paras banjir mulai surut pada jam 10.00 pagi hari berikutnya setelah cuaca semakin baik,” katanya.

Tambah beliau, pemantauan tetap dilakukan kerana Pulau Perhentian masih dilanda hujan renyai dan setakat ini, Sekretariat Pengurusan Banjir negeri memutuskan tiada keperluan untuk membuka pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran kejadian banjir kilat terbabit.

Sehubungan itu pada hari yang sama, beberapa kawasan di daerah Kota Tinggi, Johor turut dinaiki air bah berikutan hujan lebat berterusan lebih dua jam sejak petang.


Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, ia menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Kampung Lukut, selain laluan di Kilometer 62 Jalan Johor Bahru-Mersing.

“Sehingga jam 7.00 malam, air mulai surut dan tidak menjejaskan kawasan perumahan penduduk kampung. Kawasan yang dinaiki air membabitkan jalan utama dan sekitar halaman rumah, bagaimanapun, tiada PPS dibuka.

“Jalan yang dinaiki air masih boleh dilalui kenderaan ringan pada sebelah jalan. Sehingga kini, pemantauan dilakukan di kawasan meliputi Kampung Mawai Lama, Sungai Semalok, di Mawai Lama dan Jalan Kota Tinggi – Mersing,” katanya dalam satu kenyataan.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

‘Maafkan saya warga Melaka atas kesilapan bahasa’ – Teo Nie Ching

Anak tergamak bunuh ibu maut dilanggar lori