in ,

Prihatin Pesakit Kanser Payudara

Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) menerusi inisiatif tahunan kanser payudaranya, Kempen Wear It Pink menyumbang RM60,000 kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia. 

Sejak dilancarkan pada tahun 2006, kempen tersebut telah memainkan peranan besar dengan menyokong pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kesedaran umum dan mengumpul dana untuk kanser payudara termasuklah Pink October Walk, Sidang Kesihatan, Program Kebajikan Minum Petang dan lain-lain.

Ketua Pegawai Eksekutif PHKL, Erica Lam berkata, ketika penularan wabak COVID-19 yang berlaku kini, amat penting agar perhatian yang lebih diberikan kepada pejuang kanser.

Katanya, pesakit kanser mempunyai sistem pertahanan badan yang rendah berikutan rawatan yang diterima dalam usaha untuk mengawal sel kanser tersebut.

Kita perlu memastikan pesakit kanser tersebut masih boleh datang ke Pusat Penjagaan Payudara untuk mendapatkan rawatan dan bantuan.

Justeru, sumbangan ini boleh memberikan impak positif dalam kehidupan pejuang kanser tersebut dan kami di PHKL berikrar terus memainkan peranan aktif untuk membantu mereka sebaik mungkin.

Bagi Edisi 2020 Kempen Wear It Pink, PHKL telah menjual lebih daripada 1,500 kotak pelitup muka edisi khas berwarna merah jambu untuk mengumpul sumbangan. 

Perunding Pembedahan Payudara dan Endokrin PHKL, Dr Saladina Jaszle Jasmin berkata, pihaknya mahu selepas pejuang kanser ini menjalani pembedahan payudara, mereka masih berasa kembali pada sedia kala seolah-olah tiada apa-apa yang berubah pada tubuh mereka seperti sebelum dibedah. 

Dr Saladina menunjukkan baju dalam khas dan payudara tiruan untuk pesakit yang sudah menjalani masektomi.

Beliau yang juga pengerusi kempen kanser payudara di hospital tersebut tahun ini berkata,  baju dalam khas dan payudara tiruan itu diharapkan dapat membantu proses pemulihan pejuang.

“Kami amat berterima kasih kepada PHKL dan orang awam yang banyak menyumbang untuk tujuan ini,” katanya.  

   

Mengulas lanjut tentang kanser payudara, Lam mengucapkan tahniah kepada pasukan penyelidikan klinikal PHKL yang diketuai oleh Dr Mastura Md Yusof atas kejayaan mereka menjalankan ujian imunoterapi ke atas Kanser Payudara Tiga Negatif (Triple Negative Breast Cancer atau TNBC). 

TNBC metastatik adalah jenis kanser paling agresif yang mengakibatkan kadar kematian tinggi dalam kalangan pesakit muda. Pasukan penyelidikan Dr Mastura merupakan antara pasukan dari 29 buah negara yang menilai keberkesanan dan keselamatan ubat imunoterapi yang dipanggil pembrolizumab. 

Ubat ini digabungkan dengan salah satu daripada tiga jenis kemoterapi lazim yang digunakan untuk merawat TNBC berulang, tidak boleh dibedah atau metastatik yang tidak dapat disembuhkan menggunakan kemoterapi dalam suasana metastatik.

Manuskrip lengkap yang memperincikan keputusan positif daripada penyelidikan KEYNOTE-355 tersebut akan diterbitkan dalam jurnal Lancet, iaitu salah satu daripada jurnal perubatan yang terkemuka tidak lama lagi.

Sepanjang bulan Oktober Merah Jambu, PHKL akan diterangi lampu berwarna merah jambu yang boleh dilihat dari luar premis untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan ujian saringan kesihatan payudara untuk pengesanan awal. Pakej istimewa ultra bunyi dan mamogram juga ditawarkan hingga Disember 2020.

Written by Isz Yusliza

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Semua pihak perlu patuh titah Agong

Ahmad Zahid tidak hadir pertemuan PM, pemimpin parti