in ,

Polis lupus dadah rampasan bernilai hampir RM40 juta

Kuala Lumpur – Polis Kuala Lumpur pada hari ini melupuskan sebanyak 776 kilogram (kg) dan 372 liter dadah pelbagai jenis bernilai RM39.36 juta yang selesai dibicarakan serta telah diputuskan oleh mahkamah untuk dimusnahkan.

Ketua Polis Kuala Lumpur (CP), Dato’ Azmi Abu Kassim berkata, kesemua dadah berkenaan adalah daripada hasil siasatan yang dilakukan dari tahun 2008 hingga 2020 melibatkan sebanyak 8,653 rampasan.

“Antara dadah yang dijadualkan untuk dilupuskan adalah methamphetamine seberat kira-kira 237 kg (RM23.7 juta), kanabis 179 kg (RM8.96 juta), mitragynine 131 kg (RM13,000), kafein 14 kg (RM4,000), ketamin 10 kg (RM1.5 juta) dan heroin 55 kg  (RM1.95 juta).


“Pelupusan barang kes itu akan dilaksanakan mengikut peruntukan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur semalam.

Tambah beliau, turut dilupuskan 13,935 kertas siasatan membabitkan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983 yang disiasat dari tahun 1982 hingga 2015 yang telah selesai kes mahkamah yang dilaksanakan mengikut peruntukan PTKPN A402.

“Pelupusan akan dijalankan di fasiliti syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd. di Ladang Tanah Merah A3 DIvision, Bukit Pelandok di Negeri Sembilan pada 27 Oktober,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata, kadar indeks kes narkotik di ibu kota bagi tempoh tiga tahun dari tahun 2019 sehingga 24 Oktober lalu mencatatkan penurunan, susulan operasi berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur memerangi aktiviti penyalahgunaan dadah.


“Berdasarkan statistik, sebanyak 12,949 kes direkodkan pada 2019 menurun kepada 9,048 kes bagi 2020, manakala bagi tahun ini sehingga 24 Oktober, sebanyak 7,765 kes direkodkan.

“Seramai 16,949 individu ditahan membabitkan rampasan dadah bernilai RM29 juta pada tahun 2019 dan seramai 11,224 orang ditahan dengan nilai rampasan meningkat kepada RM149 juta pada tahun 2020

“Sepanjang tahun 2021 sehingga 24 Oktober lalu pula, JSJN Kula Lumpur telah merekodkan sebanyak 7,776 kes dengan 9,732 tangkapan dan rampasan dadah bernilai RM49 juta,” tambahnya.

Tegas beliau, pihak polis khususnya JSJN IPK Kuala Lumpur akan terus berusaha untuk memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah dan berterusan memeranginya dengan harapan suatu ketika nanti dapat membersihkan ibu negara daripada bahan terlarang itu.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 basikal skuad Itali hilang ‘dikebas’ pencuri

Pemain sertai Terbuka Australia tidak lagi diwajibkan vaksin