in ,

PM: Rentas negeri mulai esok, pastikan vaksin dua dos

PUTRAJAYA, 10 Okt — Sekian lama sekatan merentas negeri dikuatkuasakan, ia akan kembali dibuka bermula esok, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana menteri berkata kebenaran itu diberikan bersekali dengan mereka yang berhasrat untuk melancong ke luar negara. 

“Saya mengumumkan dengan 90 peratus vaksinasi dua dos untuk kategori dewasa maka rentas negeri dibenarkan kerajaan. 

“Kebenaran ini bermula esok. Jadi esok bebaslah. Ini yang ditunggu masyarakat. Mulai esok bolehlah keluarga Malaysia melakukan pergerakan termasuk pulang ke kampung. 

“Keluarga Malaysia bebas lakukan perjalanan pulang ke kampung. Aktiviti pelancongan juga dibenarkan,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Ismail berkata walau kebenaran merentas negeri diberikan namun rakyat masih terikat dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) mencegah Covid-19. 

Katanya, pihak berkuasa tetap melakukan pemeriksaan terutamanya aplikasi MySejahtera bagi memastikan mereka yang merentas negeri lengkap divaksinasi dua dos. 

“Saya harap jangan sambil lewa dengan pematuhan SOP kerana ia masih menjadi syarat utama seterusnya. 

“Akta 342 masih dikuatkuasakan. Ia masih boleh dikenakan tindakan. Jika ada simptom tangguh dulu berjumpa keluarga. 

“Tidak mengambil vaksin dua dos tidak dibenarkan. Polis boleh buat pemeriksaan secara rawak.

“Polis boleh buat pemeriksaan MySejahtera untuk dua vaksin. Mereka boleh buat pemeriksaan di sekatan jalan raya,” katanya.

Written by Kamil Awang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pernah sumbang, Nabila tetap mahu menyanyi

Wajib kuarantin 14 hari pulang dari luar negara, kata PM