in

[PILIHAN SABAH] Peruntukan biasiswa anak Sabah akan ditambah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merancang untuk menambah jumlah peruntukan biasiswa kepada anak-anak Sabah dalam belanjawan akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, ramai dalam kalangan pelajar yang kurang berkemampuan membuat permohonan bagi mendapatkan biasiswa berkenaan.

Sehubungan itu katanya, sambutan yang amat menggalakkan itu meyakinkan pihaknya untuk menambah lagi jumlah peruntukan sedia ada.

“Ini adalah satu langkah dalam rancangan kita kerana saya yakin bila kita bagi kelulusan, ramai yang membuat permohonan.

“Ini bermakna, ramai anak-anak yang mahu ilmu pengetahuan namun ada ibu bapa mereka yang tiada keupayaan.

“Justeru, kita perlu bantu dengan memberikan mereka tajaan sebagai pelajar khususnya anak-anak yang berkelayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Perasmian Karnival Kerjaya Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu 2020 di sini.

Shafie berkata, usaha yang dijalankan kerajaan negeri itu juga bagi memastikan pembangunan modal insan di negeri ini terus dipertingkatkan.

Katanya, sebelum ini biasiswa yang diperuntukkan membabitkan jumlah sebanyak RM50 juta termasuk RM30 juta untuk perkhidmatan awam dan selebihnya untuk pelajar.

Dalam pada itu jelasnya, sebanyak 1,600 peluang pekerjaan disediakan sempena dengan karnival kerjaya itu dengan penglibatan lebih 3,000 peserta.

Menurutnya, karnival berkenaan bukan sahaja membuka peluang pekerjaan yang luas khususnya kepada golongan belia malah dapat mengurangkan masalah penggangguran di Sabah.

Selain tu, pihaknya juga menggalakkan golongan muda menjadi usahawan melalui penglibatan graduan dalam sektor pertanian dan perikanan serta Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Karnival kerjaya itu dianjurkan Kementerian Pelajaran dan Inovasi menerusi Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM).

Turut hadir, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr. Yusof Yacob.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

[PILIHAN SABAH] PRN Sabah tetap diteruskan – Takiyuddin

[PILIHAN SABAH] Pas hasrat tanding 10 kerusi PRN Sabah