in ,

Penjawat awam Pulau Pinang dapat setengah bulan gaji

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan bayaran bantuan khas kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada 4,009 penjawat awam di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika membentangkan Belanjawan 2021 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri berkata bayaran bonus itu membabitkan RM5.5 juta dan akan dibayar pada Disember depan.

“Kerajaan negeri ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semua pasukan keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Selain semua anggota perkhidmatan Persekutuan atas pengorbanan mereka sebagai petugas barisan hadapan, khidmat dan sokongan mereka untuk mengekang penularan wabak COVID-19 serta membantu memastikan kestabilan, keamanan dan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah atas segala jasa dan pengorbanan barisan penjawat awam selaku tulang belakang kerajaan negeri kepada segala perancangan, pelaksanaan dasar dan pembangunan negeri.

“Penjawat awam adalah jentera laksana kerajaan, tanpa mereka pincang urus tadbir negeri. Pencapaian gemilang yang kita kecapi sehingga kini tidak akan dapat diperoleh tanpa komitmen dan sokongan yang jitu daripada mereka.

“Sebagai tanda penghargaan kepada sokongan padu diberikan semua penjawat awam negeri Pulau Pinang bagi tahun ini, kerajaan negeri bersetuju meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK), akhir tahun bersamaan dengan setengah bulan gaji penjawat awam atau minimum RM1,000.

“Diharapkan bayaran BKK ini akan meningkatkan semangat untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi di tahun akan datang,” katanya.

Di samping itu, Chow berkata pembayaran sebanyak RM300 juga akan disalurkan kepada 1,587 Penyelia dan Guru KAFA, 343 Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, 263 Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta 590 Guru dan Staf Sekolah Persendirian Cina serta pemberian RM200 seorang kepada seramai 320 guru tahfiz, guru pondok dan Guru Tadika Islam (TADIS) Negeri Pulau Pinang pada Disember ini membabitkan tambahan perbelanjaan RM898,900. – BERNAMA

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Top Glove rancang IPO lebih RM4 bilion di Hong Kong

COVID-19: Selangor, KL dan Putrajaya dikenakan PKPB mulai tengah malam 14 Oktober