in

Penjara Kelantan nafi dakwaan banduan mati dipukul dalam tahanan

Oleh Fizz Aziz

KOTA BHARU: Jabatan Penjara Kelantan menafikan dakwaan seorang banduan meninggal dunia dalam tahanan di Penjara Pengkalan Chepa akibat dipukul ketika berada dalam sel tahanan.

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob, berkata, banduan terbabit meninggal dunia pada 1 September lalu akibat jangkitan kuman pada paru-parunya berdasarkan pengesahan doktor.

“Tidak benar dakwaan ada banduan meninggal dunia akibat dipukul ketika dalam tahanan. Sebaliknya mangsa meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai dakwaan waris tahanan yang menuntut keadilan bagi tahanan terbabit.

Waris tahanan mendakwa mangsa berada dalam keadaan sihat sebelum dimasukkan ke dalam penjara selain tidak pernah mempunyai masalah kesihatan kritikal.

Namun, pihak keluarga terkejut dengan kecederaan dialami mangsa selepas berada di dalam tahanan dan mendakwa mangsa cedera pada bahagian paru-paru, dada dan perut.

Menjelas lanjut, Mat Yaacob berkata, mangsa menjalani hukuman penjara pada 8 Julai lalu atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun (AR).

Katanya, sebelum tahanan dimasukkan ke dalam penjara, mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui tahap kesihatannya pada ketika itu.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas mangsa, kakinya bernanah serta berkudis dan pegawai perubatan di penjara memberi ubat kepada mangsa.

“Namun kecederaan pada kakinya semakin parah sehingga menyebabkan mangsa dihantar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapat rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, pada 25 Ogos lalu, mangsa sekali lagi mengadu sakit pada bahagian kakinya dan dihantar ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.

“Namun, tiga hari lalu mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZ II dan disahkan meninggal dunia pada 1 September lalu.

Beliau berkata, insiden yang menimpa mangsa turut dimaklumkan oleh ahli keluarga namun perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak penjara.

Katanya, pihaknya kesal dengan dakwaan yang tular di media sosial dan berkemungkinan mengambil tindakan ke atas penyebar berita palsu kerana menjejaskan kredibiliti Jabatan Penjara. – BH Online

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Suspek pencemaran sungai didakwa minggu depan – Tuan Ibrahim

” Tak reti buat kerja, letak jawatan: – Tan Sri Noh Omar