in ,

Penerbangan ‘Kapten Kirk’ ke angkasa lepas ditunda

Washington – Syarikat Blue Origin milik hartawan dan pengasas Amazon, Jeff Bezos, mengesahkan pada Ahad lalu, bahawa set penerbangan untuk membawa pelakon ikonik, William Shatner berlepas ke angkasa lepas telah ditunda.

Shatner, menyandang peranan selaku Kapten James T. Kirk dari USS Enterprise (NCC-1701) dalam francais fiksyen sains klasik Star Trek telah menjadi anggota pertama dari kalangan barisan pelakon rancangan mashyur itu untuk melakukan perjalanan bersejarah ke angkasa lepas sebagai tetamu khas menaiki roket suborbital New Shepard NS-18 milik Blue Origin.

Menurut Blue Origin, pelakon Kanada itu bersama tiga lagi individu pada asalnya telah dijadualkan untuk berlepas ke angkasa lepas dari Launch Site One di Texas Barat, Amerika Syarikat pada 12 Oktober.

“Namun, disebabkan ramalan keadaan cuaca berangin yang direkodkan pada hari Selasa, pasukan operasi misi Blue Origin telah membuat keputusan untuk menangguhkan pelancaran NS-18.


“Ruangan pelancaran baru telah dijadualkan untuk Rabu 13 Oktober ini jam 8.30 pagi CDT (13.30 UTC),” kata jurucakap Blue Origin dalam satu kenyataan.

Shatner, 90, akan menjadi individu paling tua yang dibawa mengembara angkasa lepas.

Durasi penerbangan kedua Blue Origin ke angkasa lepas tersebut dijangka mengambil masa sekitar 10 minit dan akan membawa kru roket NS-18 menyeberangi garisan Karman, iaitu batas sempadan antara atmosfera Bumi dan ruang angkasa lepas yang terletak pada ketinggian 100 kilometer.

Shatner pernah menolak tawaran hartawan, Richard Branson untuk mengembara ke angkasa lepas bersama syarikat Virgin Galactic pada 2013.

Keputusan Blue Origin untuk menjemput ikon fiksyen sains serta budaya pop tersebut untuk penerbangan kedua syarikatnya itu amat membantu mengekalkan keterujaan dalam sektor pelancongan angkasa lepas.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terpalit kes dadah, pengarah harap pelakon berubah

3 kanak-kanak hilang ditemukan lemas