in , ,

Pendakwaan gagal buktikan wang RM5.9 juta hasil aktiviti haram

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersambung di Mahkamah Tinggi di sini semalam dengan prosiding diteruskan di akhir pihak pendakwaan berdasarkan kertas pertuduhan ke-26 yang membabitkan pengubahan wang haram.

Mahkamah Tinggi diberitahu pasukan pembelaan bahawa wang bagi pembelian dua lot banglo di Country Heights Kajang, Selangor bernilai RM5.9 juta oleh Yayasan Akalbudi (YAB) milik tertuduh adalah hasil sumbangan daripada dua ahli perniagaan dan bukan hasil aktiviti haram.

Peguam mewakili Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata, wang tersebut merupakan hasil sumbangan daripada pemborong tekstil, Junaith Asharab Md Shariff dan tukang emas, Mubarak Hussain Akhtar Husin, yang merupakan saksi pendakwaan.

“Kedua-dua saksi telah tampil ke hadapan dan memberi keterangan di hadapan Yang Arif menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah berlaku. Pihak pendakwaan gagal membuktikan wang RM5.9 juta terlibat adalah hasil aktiviti haram,” ulas beliau.

Menurut Hisyam, sebelum ini Mubarak pernah menghulurkan derma bagi pembinaan sebuah sekolah di Melaka, manakala Junaith menyalurkan sumbangan kepada sebuah masjid dan sekolah tahfiz di Bagan Datoh.

“Pembelaan mengakui bahawa arahan untuk membeli banglo terbabit datangnya daripada tertuduh dan kedua-duanya telah di pindah milik kepada Yayasan Al-Falah (YAF) sebagai sumbangan kerana kedua-dua Yayasan berkongsi matlamat yang sama,” tambah beliau.

Kedua-dua banglo telah dijadikan pusat keagamaan buat YAF, yang dimiliki keluarga Zahid Hamidi dan dikendalikan oleh adiknya, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa atas 47 pertuduhan melibatkan 12 pecah amanah, 27 pengubahan wang haram dan lapan rasuah melibatkan berpuluhan juta ringgit milik YAB.

Menurut kertas pertuduhan ke-26 yang dibentangkan, Zahid Hamidi, 68, didakwa memberi arahan dalam pembelian kedua-dua banglo tersebut dengan menggunakan cek milik Tetuan Lewis & Co., yang juga hasil aktiviti haram.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 individu ditahan terlibat dalam private party

Tiada bukti melibatkan rasuah, Rina Harun bebas siasatan SPRM