in ,

Pencemaran dikesan di Sungai Selangor, 4 LRA henti tugas

SHAH ALAM: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri, berkata henti tugas keempat-empat loji ini menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Bagi proses pencairan dan ‘flushing’ bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor, tindakan segera sudah dilakukan dengan melepaskan air secara graviti dari HORAS 600 dengan kapasiti 285 juta liter sehari dan pelepasan air mentah dari empangan sebanyak 800 juta liter sehari.

“Dalam pada itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 336 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.

“Sehingga jam 6.30 pagi ini, pencemaran masih lagi di kesan di Sungai Selangor pada tahap 1 TON,” katanya.

Justeru katanya, Air Selangor ingin memaklumkan pemulihan setakat jam 2 pagi ini untuk insiden henti tugas separa LRA SSP1 berikutan paip air terawat pecah mencapai kadar 80 peratus namun berikutan insiden pencemaran bau ini melibatkan loji yang sama, maka pemulihan kawasan ini tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual yang diumumkan pada semalam.

Jelasnya, Air Selangor menyediakan bantuan bekalan air dengan mengerakkan lori-lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

“Pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air untuk kecemasan seperti urusan kematian boleh menghubungi 15300.

“Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID 19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini dengan mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.

“Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,” katanya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

IMPAK EKONOMI TERHADAP PEMANDU TEKSI DAN E HAILLING- TINJAUAN

PKPB: Bicara 1MDB Najib ditangguh ke 9 November