in ,

Pemilik restoran siakap ‘harga kayangan’ gagal kemukakan dokumen lengkap

Kuala Lumpur – Pemilik  restoran terapung di Langkawi, Kedah yang tular pada awal bulan ini kerana menjual hida­ngan ikan siakap pada harga lebih RM1,000 bakal didakwa.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Haji Rosol Wahid berkata, peniaga terbabit telah gagal mengemukakan dokumen perniagaan lengkap dikehendaki kementeriannya mengikut tempoh ditetapkan.

Beliau berkata, peniaga itu telah memberi kerjasama baik kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), namun malangnya gagal memenuhi arahan menghantar dokumen perniagaan lengkap serta terperinci.

“Sebelum ini tempoh penghantaran dokumen terperinci terbabit telah dilanjutkan bagi membolehkan peniaga itu membetulkan kesilapan tersebut.

“Begitupun, ia masih tidak dapat dipenuhi sehingga 17 November lalu. Kertas siasatan telah dibuka dan akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sebelum ini tular mengenai sekumpulan pelanggan yang terkesima apabila mereka terpaksa membayar RM1,196.80 bagi hidangan seekor ikan siakap seberat 7.48 kilogram di salah sebuah restoran terapung di Langkawi baru-baru ini.

Rosol berkata, tindakan itu dikenakan ekoran kegagalan pemilik restoran tersebut menyelenggara serta menyimpan rekod dengan wajar.

“Peniaga terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 53(A) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau kompaun RM25,000 jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lambakan wang berselerak di atas lebuhraya

Lembah Permai Bukit Belacan dilanda banjir kilat