in ,

Pelajar maut dirempuh van sekolah dinaiki

Sepang – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas dirempuh van dinaikinya, di hadapan sebuah tadika di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini pada tengah hari Jumaat lalu.

Mangsa dikenali sebagai Nur Alisha Safiya Mohd Azlin disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan kecemasan di Nilai Medical Centre selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Sepang, (ACP) Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari itu, kemalangan berlaku ketika pemandu van menghantar mangsa dari sebuah sekolah kebangsaan ke sebuah tadika untuk transit.

“Setelah selesai menurunkan kesemua pelajar termasuk mangsa di tadika tersebut, pemandu van itu bergerak maju ke hadapan, dalam pada masa yang sama mangsa berjalan melintas di hadapan van berkenaan sebelum dirempuh.


“Pemandu van wanita berusia 31 tahun itu terlebih dahulu ditahan pihak berkuasa untuk diambil keterangan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu,” ujarnya.

Katanya, satu kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dibuka berhubung kejadian itu. Siasatan awal mendapati, pemandu van berkenaan mempunyai lesen memandu yang sah dan van tersebut turut dilengkapi cukai jalan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at memaklumkan, pihaknya turut memantau kes berkenaan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

“Ia berikutan kenderaan berkenaan berwarna putih dan bukannya kuning seperti yang sudah ditetapkan. Selain itu, van tersebut tidak tertera perkataan van sekolah sekali gus dipercayai tidak mempunyai permit yang dibenarkan,” katanya.

Sebelum ini, video memaparkan kejadian itu tular di media sosial.

Lebih memilukan, belum habis bersedih dengan pemergian cucu tersayang, Mahan Hamid, 68, terpaksa pula meratapi kematian suaminya.

Suaminya, Saad Hashim, 70, derita akibat penyakit kencing manis sejak 10 tahun lalu dan arwah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4.00 pagi Ahad di kediamannya di Felda Keratong 5, Bandar Tun Razak, Pahang.

Beliau berkata, kehilangan dua insan tersayang serentak dalam tempoh 48 jam adalah sesuatu yang berat dan memeritkan.

“Baru semalam saya sempat menatap wajah Nur Alisha buat kali terakhir ketika solat jenazah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Hari ini suami pula meninggalkan saya,” katanya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Remy Gardner Juara Dunia Moto2 musim 2021

Pakar cadang hentikan pasaran motosikal ‘kapcai’ secara berperingkat