in ,

Pegawai polis pinjam RM100,000 beli pangkat superintenden

Klang – Seorang wanita di sini, mendakwa seorang pegawai polis berpangkat timbalan superintenden (DSP) meminjam RM100,000 daripadanya untuk membeli pangkat superintendan.

Memetik laporan portal Free Malaysia Today, menerusi laporan polis yang dibuatnya, wanita itu mendakwa DSP terbabit bersama rakannya, secara berasingan telah mengugut akan membunuh beliau dan keluarganya kerana meminta untuk pulangkan kembali wang tersebut.

 

Beliau mendakwa pegawai terbabit yang berkhidmat di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Negeri Sembilan, yang juga rakannya, telah bersetuju untuk membayar balik wang itu, sekiranya perjanjian membeli pangkat tersebut gagal.

Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dijangka menyiasat dakwaan pembelian pangkat itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Vijaya Rao Samachulu berkata, keterangan pegawai itu dan rakannya sudah diambil dalam siasatan kes ugutan jenayah.

“Ugutan maut itu didakwa dibuat pada 7 Oktober lalu di sebuah restoran di Taman Berkeley.

“Pengadu yang juga jurubahasa mahkamah berusia 36 tahun, mendakwa perkara itu berlaku ketika beliau menemui dua lelaki terbabit untuk membincangkan pembayaran balik wang RM100,000 itu,” katanya.

Wanita itu memberitahu polis, pertengkaran menyusul dan rakan DSP itu menampar pipinya.

Katanya, beliau meminjamkan wang kepada DSP terbabit pada 1 September lalu, selepas diberikan jaminan wang akan dipulangkan kembali jika perjanjian membeli pangkat superintendan tidak berjaya.

Dakwa wanita itu, pegawai berkenaan menyerahkan wang itu kepada seorang lagi lelaki untuk dibayar kepada seorang pegawai kanan polis bagi mendapatkan pangkat terbabit.

Menurutnya, wang RM100,000 itu adalah sebahagian daripada RM300,000 yang diterima daripada bekas suaminya sebagai penyelesaian perceraian mereka.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Permohonan jaminan anak SRK ditolak, Aryan dihantar ke penjara

Fasa 4 PPN: 20,000 penonton dibenar saksikan perlawanan di stadium