in ,

PDRM uji cuba 5 kereta peronda mewah

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan lima unit kenderaan mewah jenis BMW dan Volkswagen (lengkap aksesori) yang diterima pada Khamis lalu, adalah hanya untuk uji cuba atau peringkat pembuktian konsep (POC) yang belum dimuktamadkan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Dato’ Hazani Ghazali berkata, kenderaan yang diterima sebagai kenderaan pasukan polis itu adalah hanya untuk uji cuba atau POC tanpa sebarang perjanjian atau urusan pembelian.

“Tempoh uji cuba adalah selama dua minggu yang melibatkan kenderaan model BMW M3, BMW X3 dan Volkswagen Tiguan di mana kenderaan-kenderaan tersebut akan digunakan oleh Jabatan KDNKA, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Cawangan Pengiring PDRM.

“Tujuan uji cuba tersebut adalah untuk mendapatkan maklum balas sama ada kenderaan-kenderaan berkenaan sesuai atau tidak digunakan untuk sebarang penugasan dalam PDRM,” ujarnya dalam kenyataan media.

Menurutnya, PDRM juga sedia maklum akan kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan dan tawaran yang diberikan oleh syarikat berkenaan adalah atas prinsip hanya untuk uji cuba, sebelum sebarang keputusan untuk penggunaannya diputuskan oleh PDRM kelak.

Terdahulu, tular gambar lima kenderaan mewah BMW dan Volkswagen yang didakwa akan digunakan oleh PDRM untuk mengiring orang kenamaan (VIP) sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai yang mempersoalkan kedudukan kewangan negara ketika berhadapan wabak COVID-19.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kegiatan iklan perkhidmatan seks atas talian tumpas

Askar mengamuk di rumah mertua tembak diri sendiri