in

PdPR Ibu Bapa perlu tingkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran

KANGAR: Bukan hanya menyediakan peralatan elektronik sahaja, malah ibu bapa juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang mencukupi supaya sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak berjalan lancar.

Menurut Pengerusi Penggerak Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Perlis, Profesor Madya Dr Abdul Jalil Ramli, ramai ibu bapa mengadu rasa tertekan sejak kaedah pembelajaran secara dalam talian tersebut dilaksanakan.

“Tugas guru pada sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah seperti menerangkan tentang sesuatu topik yang tidak difahami kepada murid kini terpaksa dipikul oleh ibu bapa sepanjang PdPR menyebabkan mereka rasa tertekan dengan bebanan baru itu,” katanya.

Abdul Jalil mengulas, antara faktor tekanan ialah ibu bapa tidak mempunyai pengetahuan yang cukup untuk membantu anak, di samping kekurangan masa setelah penat bekerja seharian.

“Bagi membantu ibu bapa, PIBKS mencadangkan agar pihak terlibat, sama ada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau Jabatan Pendidikan Negeri, mengeluarkan modul pembelajaran atau nota untuk setiap mata pelajaran, bagi membantu ibu bapa memahami topik yang diajar pada sesi PdPR,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, ibu bapa juga harus meningkatkan pengetahuan agar dapat membantu anak-anak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ini bukan perkara mudah bagi mereka, terutama ibu bapa yang kurang berpengetahuan. Namun, keadaan sekarang mendesak untuk mereka berkorban demi masa hadapan anak-anak.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Perlis, Naemah Ibrahim tidak menafikan pihaknya ada menerima keluhan daripada ibu bapa yang rasa tertekan dengan PdPR dan mendapatkan bantuan perkhidmatan tele kaunseling.

Beliau menjelaskan tekanan timbul, kerana ibu bapa yang bekerja dari rumah terpaksa menguruskan dua perkara serentak dalam satu masa, iaitu urusan kerja dan PdPR. Di samping itu, terdapat juga keluarga yang kurang berkemampuan untuk menyediakan peranti bersesuaian buat anak-anak mereka mengikuti pelajaran secara dalam talian.

Antara kerisauan serta kebimbangan ibu bapa adalah pada tahap kesihatan jasmani, mental dan emosi anak yang dikuatiri terjejas. Bermula seawal dari 7 pagi sehingga petang.

Ibu bapa berharap agar pihak sekolah dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kreatif bagi mengurangkan tekanan kepada murid.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sejak bila saya setuju langar arahan MKT parti?– Najib Razak

Ismail Sabri mula tugas sebagai TPM