in ,

Pasukan Thorium Dari UNITEN Juara Siswasat 2020

Pasukan Thorium dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menjuarai Pertandingan Kebangsaan Rekabentuk dan Pembangunan Model Nano Satelit Peringkat Siswazah (Siswasat) 2020 di Putrajaya, baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Agensi Angkasa Negara (MySA) sempena Minggu Sains Negara ini menawarkan platform serta peluang dan pendedahan kepada pelajar khusus untuk menjalani program pembangunan nano satelit ini secara praktikal dengan kos yang berpatutan.

Pasukan yang telah dinobatkan sebagai juara dalam kategori Rekabentuk Misi Terbaik itu turut meraih kemenangan dalam Persembahan Laporan Terbaik.

Di bawah seliaan Dr Jehana Ermy Jamaluddin, pasukan Thorium telah mara ke pusingan terakhir bersaing bersama 22 pasukan lain daripada institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah seluruh negara.

Gambar reka bentuk Nano Satelit Siswasat 2020.

Pertandingan Siswasat 2020 merangkumi empat peringkat iaitu bermula kertas cadangan misi, laporan reka bentuk awal, laporan reka bentuk kritikal serta demonstrasi misi dan pembentangan terakhir.

Pasukan itu dianggotai oleh pelajar UNITEN iaitu Izmir Yamin sebagai ketua kumpulan, Afiq Mohd Rashdi, Zhafran Aiman Zulkarnain dan Solahuddeen Hibatur Rahman.

Izmir berkata, pertandingan seperti Siswasat ini adalah contoh yang terbaik bagi memberi platform melahirkan generasi yang dapat menyelesaikan masalah menerusi teknologi dan berfikir secara inovatif dan kritikal.

Izmir Yamin

Katanya, ia penting kerana dapat memangkin teknologi tempatan negara untuk terus berkembang maju bagi menjadikan Malaysia negara yang maju dalam bidang teknologi angkasa lepas dan juga bidang-bidang yang lain melalui ‘Spin-off of Space Technology’.

“Cita-cita saya suatu hari nanti agar saya dapat berkhidmat untuk negara bagi membina satelit dan roket pelancar satelit ke angkasa lepas menggunakan sepenuhnya teknologi tempatan.

“Selaku ketua pasukan yang mewakili UNITEN, yang mana saya terlibat dalam mereka bentuk sistem penting seperti elektronik, mekanikal, sistem payung terjun, on-board data handling, memprogramkan aplikasi Ground Control Software dan konfigurasi sistem komunikasi dan memastikan ia berfungsi dengan baik.

“Kami amat berterima kasih kepada pihak universiti, MySA, MOSTI, penasihat pasukan, pensyarah, dan ahli keluarga yang banyak memberi sokongan padu, bekerja keras semasa pertandingan berjalan,” katanya.

 

Written by Isz Yusliza

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cemar air, 636 syarikat kena tindakan

Bolehkah Industri Penerbangan Diselamatkan?