in ,

Pakar cadang hentikan pasaran motosikal ‘kapcai’ secara berperingkat

Kuala Lumpur – Bekas ketua Bahagian Perancangan dan Polisi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kini dikenali sebagai Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Wan Agyl Wan Hassan mencadangkan agar motosikal ‘kapcai’ dikeluarkan secara berperingkat daripada pasaran tempatan dan digantikan dengan motosikal elektrik berkuasa rendah.

Beliau menyifatkan motosikal jenis tersebut sebagai ‘jentera pembunuh’ berdasarkan kadar kematian penunggang yang tinggi membabitkannya. ‘Kapcai’ merupakan istilah slanga bagi motosikal kelas underbone dengan kuasa enjin berkapasiti bawah 250cc.

Katanya, ‘kapcai’ adalah jentera pembunuh yang mengakibatkan secara purata 4,100 kematian dalam setahun di negara ini dan dianggarkan kini terdapat 11 juta motosikal jenis itu aktif di Malaysia.

“Menurut laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan bahawa negara kehilangan produktiviti serta mengalami kerugian ekonomi besar sebanyak RM18.15 bilion ekoran kematian pengguna motosikal dari tahun 2015 hingga 2017.

“Ini adalah kerugian besar buat negara. Adakah kita masih mahu motosikal sebegini di atas jalan raya?” soal Wan Agyl.

Menurut beliau, angka daripada polis trafik persekutuan menunjukkan seramai 79,916 pengguna motosikal terkorban dalam nahas kemalangan jalan raya dari 2001 hingga Ogos tahun ini dan 70.2 peratus daripadanya membabitkan pengguna motosikal.


“Terdapat 15.2 juta motosikal berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), 90 peratus  daripadanya adalah model ‘kapcai’. Statistik terkini menunjukkan bahawa Malaysia semakin hampir menggantikan Thailand sebagai negara paling berbahaya bagi penunggang motosikal.

“Kita perlu fikir sama ada kita mahu mengekalkan atau tidak motosikal jenis ini atau perlahan-perlahan menghapuskannya secara berperingkat,” katanya.

Tambah Wan Agyl, ramai membeli motosikal jenis ini disebabkan harganya yang lebih murah, iaitu secara purata RM3,000 hingga RM4,000. Bagaimanapun, motosikal elektrik adalah lebih murah, dengan harga antara RM1,500 dan RM2,000 dan tidak selaju atau mudah diubah suai dan ditukar menjadi ‘jentera pembunuh’.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelajar maut dirempuh van sekolah dinaiki

Individu tipu jual PS5 ditahan