in ,

Pahang minta Kerajaan Pusat buka semula Taman Negara

KUANTAN: Pahang meminta Kerajaan Pusat, khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) membuka semula Taman Negara membabitkan laluan masuk Kuala Tahan, Jerantut dan Merapoh, Lipis.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata penutupan Taman Negara akibat penularan COVID-19, adalah tidak perlu dilaksanakan.

Ini kerana daerah Jerantut dan Lipis serta negeri Pahang keseluruhannya tidak berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Akibat arahan penutupan itu, kerajaan Negeri menerima rungutan daripada pengusaha aktiviti eko-pelancongan di sana yang kehilangan punca pendapatan.

“Mereka terdiri daripada 170 pemandu pelancong, 78 pengusaha bot di Sungai Tahan, 30 pengusaha bot di Sungai Tembeling, 17 agensi pelancongan dan 38 pengusaha penginapan.

“Ini tidak termasuk pengusaha sokongan lain seperti pengusaha penyajian makanan, pembekal dan peruncit yang bergantung harap kepada bidang eko-pelancongan sebagai sumber pendapatan utama mereka.

“Perkara sama turut dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri semalam dan memutuskan Kerajaan Pahang meminta Kerajaan Pusat membatalkan segera arahan penutupan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Rosdy berkata, dengan pembukaan semula Taman Negara, kerajaan negeri meminta pengusaha pelancongan dan pengunjung terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Baru-baru ini, seramai 370 pengusaha pelancongan di Taman Negara Pahang, Kuala Tahan meminta PERHILITAN mengkaji semula penutupan sementara Taman Negara itu sejak 6 Oktober lalu berikutan sumber pendapatan mereka terjejas teruk.

Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kuala Tahan bersama lapan persatuan termasuk wakil suku kaum Orang Asli Bateq berharap jabatan itu memberi perhatian kepada rintihan mereka yang sebahagian besar kehilangan sumber pendapatan berikutan penutupan sementara Taman Negara Kuala Tahan kepada pengunjung.

Mereka yang menandatangani memorandum itu ialah Persatuan Pengusaha Pelancongan Taman Negara, Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Taman Negara, Persatuan Pengusaha Bot Taman Negara.

Selain itu, Kelab Pencinta Burung Taman Negara, wakil Pengusaha Bot Pelancong Sungai Tembeling, Pengusaha Restoran dan Rakit Terapung, Pengusaha Bot Pelancongan Sungai Tembeling, Agensi Pelancongan dan Pengembaraan, Pengusaha Penginapan dan Suku Kaum Bateq. -BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Little Huffaz Kembali lagi

Aaron Aziz beri amaran kepada penulis blog