in ,

Padah tunggang motosikal secara berbahaya, 4 individu ditahan

Port Dickson – Ekoran seperti dipaparkan dalam video yang tular di media sosial sejak Ahad lalu, pihak polis berjaya menahan empat lelaki termasuk seorang pelajar kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban- Port Dickson, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson (SUPT.), Aidi Sham Mohamed berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Trafik Port Dickson dengan kerjasama pegawai serta anggota trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah telah membuat tangkapan ke atas empat penunggang motosikal yang terlibat dalam rakaman tersebut.

“Kesemuanya suspek berumur 17 hingga 18 tahun dan ditahan antara jam 1.00 hingga 4.00 pagi di lokasi berasingan di kawasan Bukit Rambai serta Cheng Melaka.

“Mereka ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu di IPD Port Dickson bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu atau menunggang secara melulu serta bahaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Aidi Sham berkata, jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara kurang lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu melebihi lima tahun.

“Usaha mengesan baki tiga orang penunggang yang dikenali sebagai ‘Upa’, ‘Darwisy’ dan ‘Afiq’ diteruskan,” katanya.

Sebelum ini, polis sedang mengesan tujuh individu yang menunggang motosikal secara berbahaya dengan cara membongkok badan, bersaing sesama sendiri dan membuat aksi zig zag dipercayai membahayakan diri sendiri termasuk pengguna jalan raya lain di Lebuh Raya Seremban – Port Dickson, di sini.

Menerusi satu paparan video berdurasi lebih kurang satu minit dimuat naik ke Facebook, sekumpulan penunggang motosikal dilihat menunggang secara berbahaya dipercayai berlaku pada 17 Oktober antara jam 2.00 hingga 3.00 petang di Lebuh Raya Seremban- Port Dickson antara Kilometer 14 hingga 16 arah Port Dickson ke Seremban.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kawasan Klang dinaiki air akibat banjir kilat

Maut ketika mendaki Gunung Lambak