in , ,

Otai Reformis 1998 gesa kerajaan siasat peningkatan kes kematian BID COVID-19

Kuala Lumpur: Trend kes Kematian Sebelum Tiba ke hospital atau Brought In Dead (BID) akibat jangkitan COVID-19 kini agak membimbangkan berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menerusi data tersebut, Otai Reformis 1998 menggesa kerajaan untuk mengenalpasti punca sebenar berlakunya peningkatan kes BID yang berterusan itu.

Menurut kenyataan badan bukan kerajaan tersebut, setakat 5 hingga 18 September, sejumlah 517 kes BID meliputi kes-kes di Sabah sebanyak 25.92 peratus, Pulau Pinang 17.60 peratus, Johor 17.41 peratus, Selangor 10.83 peratus, Perak 5.03 peratus dan Kelantan 3.68 peratus telah direkodkan menerusi sumber GitHub KKM bertarikh 21 September.

“Otai Reformis sangat terkesan dan sedih dengan laporan media terhadap kes BID ini dan menggesa satu ‘post-mortem’ oleh pihak ketiga yang bebas serta ‘pendengaran awam’ oleh Suruhanjaya Diraja dilakukan untuk mengenalpasti punca peningkatan mendadak kes BID tersebut.

“Daripada jumlah 3,587 kes keseluruhan kematian COVID-19 dilaporkan sejak 18 hingga 31 Ogos lalu, sebanyak 771 kes atau bersamaan 21.5 peratus daripadanya melibatkan kematian BID.

“Malah, jumlah kumulatif kes BID setakat 23 September iaitu seramai 4,809 orang sangat memeranjatkan. Otai Reformis dan seluruh rakyat Malaysia ingin mengetahui apakah punca berlakunya peningkatan kes BID ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi serta Setiausaha Otai Reformis 1998, Dr. Idris Ahmad dan Abdul Razak Ismail.

Mereka mahu penjelasan kerajaan, apakah BID berpunca daripada pesakit yang dikuarantin di rumah tanpa diberikan sebarang ubat-ubatan; tiada pemantauan KKM terhadap pesakit yang dikuarantin; kekurangan katil di hospital untuk menempatkan pesakit COVID-19; masalah rumah kediaman pesakit jauh di pendalaman dan sukar untuk diakses oleh pihak berkuasa atau kelewatan respon kenderaan ambulan untuk mengangkut pesakit ke hospital terdekat dengan kadar segera?

Menyentuh berkenaan isu suntikan vaksin dos ketiga pula, Otai Reformis menggesa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar lebih terbuka TENTANG isu berkenaan dalam memberikan fakta-fakta saintifik yang ‘membenarkan’ perlaksanaan ke atas dos tambahan tersebut.

Berdasarkan laporan dari media antarabangsa, Otai Reformis menambah, hanya Israel dan China sahaja yang sedang melaksanakan vaksinasi dos ketiga dan dikhabarkan negara Zionis itu berkemungkinan akan teruskan vaksinasi dos keempat ke atas rakyatnya.

“Otai Reformis berharap program vaksinasi dos ketiga tidak dilakukan secara terburu-buru dan menyarankan agar kerajaan menjalankan kajian lebih mendalam sebelum melaksanakan keputusan itu.

“Kerajaan juga wajar mendapatkan laporan yang lengkap dari kajian negara-negara luar terlebih dahulu.

“Kecualilah kerajaan tidak mampu memberikan penjelasan yang memuaskan, maka rakyat wajar menolak perlaksanaan vaksinasi dos ketiga itu kerana ‘herd immunity’ sehingga 90 peratus seperti disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sudah lebih dari mencukupi untuk menangani penularan pandemik COVID-19,” kata mereka.

Selain itu, Otai Reformis turut membidas tentang program vaksinasi ke atas kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun seperti yang dirancangkan oleh pihak kerajaan, kerana menurut mereka, hampir kebanyakan negara baik Amerika Syarikat mahupun negara-negara Eropah dan beberapa negara Asia lain (kecuali Singapura) ‘masih belum’ atau ‘tidak’ melaksanakan program berkenaan.

“Malah, kami turut menyarankan kerajaan melipatgandakan usaha untuk laksanakan vaksinasi terhadap pekerja-pekerja warga asing, baik yang mempunyai dokumen sah mahupun tanpa dokumen dengan kadar segera, memandangkan terdapat lebih 3 juta orang pekerja warga asing kini berada di Malaysia,” tambah mereka lagi.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Perhimpunan BERSIH 1.0 dituduh terima sumber luar negara

Shah Alam dilanda banjir kilat